Carilah tempat lain, Bukit Tagar ramai penduduk Melayu

Carilah tempat lain, Bukit Tagar ramai penduduk Melayu

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Sebanyak 37 gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Islam membantah sekeras-kerasnya projek pembinaan ladang penternakan babi di kawasan Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali berkata, mereka tidak bersetuju sama sekali kawasan itu dijadikan ladang babi mega.

“Kami sangat kesal dan kecewa terhadap kegagalan pihak berkuasa negeri Selangor sehingga mendatangkan kemurkaan Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Baginda terpaksa campur tangan dan menegur dengan tegas pihak berkuasa negeri. Seharusnya kerajaan negeri peka terhadap rakyat serta institusi raja dalam isu ladang babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat yang belum selesai.

“Justeru, kami akan bantah habis-habisan jika ia tetap mahu diteruskan. Sepatutnya biarlah ladang babi ini dibina di kawasan majoriti penduduknya pemakan daging babi.

“Kami menggesa kerajaan negeri Selangor mengharamkan sahaja ternakan babi dalam negeri ini dan menjadi negeri pengimport sahaja daging berkenaan,” katanya selepas mengadakan perhimpunan aman di pintu utama Bangunan SUK, di sini petang semalam.

Syed Hassan mewakili semua NGO Melayu Islam seperti PERKID, UMMAH, PEMBELA turut menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan negeri yang diterima oleh pegawai kanan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor.

Pada masa sama pihaknya menegur kegagalan pihak bertanggungjawab dalam mengurus dan mengendali ladang-ladang babi di Tanjung Sepat sehingga mengganggu kehidupan penduduk di situ.

“Keadaan ini juga boleh berlaku di mana-mana tempat lain jika ladang babi baru dibuka menggantikan ladang-ladang babi Tanjung Sepat.

“Maka kami membantah keputusan Kerajaan negeri mahu memindahkan ladang-ladang babi di Tanjung Sepat ke Bukit Tagar kerana akan menggangu kehidupan penduduk yang mana majoriti penduduk di situ adalah Islam.

“Kami juga menentang sekeras-kerasnya cadangan untuk menjadikan Malaysia secara amnya dan Selangor secara khususnya sebagai pengeksport daging babi, sedangan negara ini agamanya adalah agama Islam amat tidak betul sama sekali jika ianya berlaku,” katanya.

Sementara itu seorang penduduk yang mendakwa tinggal berhampiran kawasan Bukit Tagar yang dikenali sebagai Shida, 50-an berkata, kawasan Bukit Tagar tidak sesuai dijadikan kawasan penternakan ladang babi memandangkan kawasan berkenaan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi selain kawasan sungai yang menjadi punca utama keperluan penduduk.

Katanya, terdapat banyak perumahan baharu sedang dibangunkan di kawasan itu dan dibimbangi sumber air yang akan disalirkan menjejaskan kesihatan penduduk termasuk pelajar Universiti Selangor (UNISEL) di Bestari Jaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top