am@hmetro.com.my
Kuantan: Seramai 40 penuntut asnaf di Pahang menerima bantuan insentif bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Anak Asnaf Cemerlang 2025 berjumlah RM481,232.49.
Bantuan diterima daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) itu berdasarkan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) antara 3.00 dan 4.00.
Bagi Mohamad Armien Shahari, 22, dia tidak menyangka akan menerima bantuan itu selepas menamatkan pengajian peringkat diploma di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS).
“Saya bersyukur dengan bantuan RM20,556.47 diterima. Ini kerana, sebelum ini, saya ragu-ragu sama ada mahu meneruskan pengajian di peringkat ijazah atau mahu bekerja.
“Namun, sebaik dimaklumkan mendapat pembiayaan 100 peratus bagi menyelesaikan pinjaman PTPTN, saya buat keputusan untuk sambung belajar dan beban pinjaman yang perlu ditanggung sebelum ini juga sudah selesai,” katanya.
Mohamad Armien ditemui selepas majlis penyerahan Bantuan Pembiayaan PTPTN Anak Asnaf Cemerlang Tahun 2025, di sini, hari ini.
Penyerahan bantuan disampaikan Timbalan ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal an Operasi) MUIP Dr Asmadi Abdul Rahman.
Nur Assurau Hashim, 24, berterima kasih di atas bantuan bayaran balik pinjaman yang diberikan, sekali gus meringankan beban ditanggung.
“Alhamdulillah, bantuan ini begitu bermakna,” katanya.
Sementara itu, Asmadi berkata, MUIP memperuntukkan RM481,232.49 untuk insentif bayaran balik pinjaman PTPTN kepada penuntut asnaf di Pahang bagi 2025.
“Daripada 40 penuntut asnaf ini, dua mendapat pembiayaan 100 peratus selepas memperoleh PNGK antara 3.75 dan 4.00.
“Seramai 13 penuntut mendapat pembiayaan 75 peratus (PNGK 3.59 – 3.74) dan 25 penuntut (PNGK 3.00 – 3.49) pula mendapat pembiayaan 50 peratus.
“Mereka terdiri daripada anak asnaf lepasan diploma yang memperoleh keputusan akademik cemerlang. Ia sebagai penghargaan atas usaha, disiplin dan pencapaian mereka dalam bidang pendidikan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




