Momentum semasa jelas memihak kepada Newcastle United, namun esok bukan perlawanan untuk mereka leka.
Lawan yang bakal ditentang, Wolverhampton Wanderers, meraih keyakinan tinggi selepas mencatat tiga kemenangan dan satu seri dalam lima aksi Liga Perdana Inggeris terakhir.
Jika diperincikan, Wolves bukan sekadar bertahan dan berharap pada serangan balas.
Mereka memiliki barisan tengah yang berdisiplin dan berani menguasai permainan, faktor yang berpotensi mengganggu rentak Newcastle, sekali gus membuka peluang menghadiahkan kekalahan liga pertama sejak Boxing Day ketika tewas kepada Manchester United.
Di atas kertas, ini sepatutnya tiga mata mudah buat pasukan kendalian Eddie Howe.
Namun realitinya lebih rumit. Newcastle ketika ini diuji dengan krisis pertahanan apabila Dan Burn, Fabian Schar dan Tino Livramento masih dibelenggu kecederaan tanpa tempoh kepulangan jelas.
Howe sendiri mengakui pasukannya berada dalam keadaan ‘tersepit’ di bahagian belakang.
Baru sahaja menyambut kepulangan Sven Botman, mereka kehilangan pula Schar, satu tamparan yang hadir pada masa kurang sesuai.
Walaupun Burn dilaporkan menunjukkan perkembangan positif, Newcastle mungkin tiada pilihan selain bergantung kepada kekuatan menyerang untuk memastikan keputusan memihak kepada mereka.
Tumpuan sudah tentu terarah kepada penjaring utama, Bruno Guimaraes.
Dengan lapan gol dan tiga bantuan jaringan setakat ini, pemain Brazil itu terus membuktikan nilai besarnya kepada Newcastle, bukan sahaja sebagai penggerak tengah, tetapi juga penentu keputusan perlawanan pada saat genting.
Sokongan turut hadir daripada pemain muda sensasi, Lewis Miley, yang sudah mencatat tiga bantuan gol musim ini.
Gabungan kreativiti dan ketenangan dua pemain tengah ini boleh menjadi kunci untuk Newcastle memanfaatkan detik besar dan mengutip tiga mata penting.
Mudah di atas kertas, mencabar di atas padang, itulah realiti yang menanti The Magpies esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




