821 gagal hadir janji temu vaksin COVID-19 di NS

821 gagal hadir janji temu vaksin COVID-19 di NS

bhnews@bh.com.my

SEREMBAN: Seramai 821 individu yang diberi janji temu melalui aplikasi MySejahtera bagi menerima suntikan vaksin COVID-19 di Negeri Sembilan gagal muncul di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditetapkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata jumlah itu membabitkan seramai 297 individu bagi fasa pertama atau 0.5 peratus dan 524 orang atau 1.5 peratus bagi fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Kerajaan negeri berharap orang ramai yakin dengan vaksin yang disediakan oleh kerajaan dengan hadir pada setiap janji temu untuk menerima suntikan yang ditetapkan.

“Peluang ini sebenarnya amat ditunggu oleh rakan-rakan yang lain apabila setakat ini seramai 99,145 individu atau 10 peratus rakyat negeri ini sudah menerima suntikan vaksin.

“Terdapat 41 Pusat Pemberian Vaksin di Negeri Sembilan setakat ini dan lapan pusat lagi bakal dibuka dalam tempoh terdekat atau menjelang Jun ini,” katanya di sini.

Aminuddin turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan segelintir individu yang gagal hadir janji temu penerimaan suntikan vaksin.

“Saya harap perkara ini tidak berulang dan masyarakat di Negeri Sembilan harus hargai komitmen yang diberikan petugas barisan hadapan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top