Nombor 26 petanda United mampu juara – Solskjaer

Nombor 26 petanda United mampu juara – Solskjaer

LONDON: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer percaya nombor istimewa 26 mampu menjadi petanda The Red Devils mampu memenangi trofi Liga Europa awal pagi ini.

Ini kerana pertembungan final menentang Villarreal di Gdansk, Poland jatuh pada hari ulang tahun kelahiran legenda bekas pengurus United, Sir Matt Busby.

Lagipun, 26 Mei juga tarikh United memenangi Liga Juara-Juara 1999 selepas menewaskan Bayern Munich di pentas final yang menyaksikan Solskjaer turut mengecapi kejuaraan ‘treble’.

Nombor 26 juga penting untuk keluarganya kerana pengurus itu percaya ia memberi petanda yang baik, di sebalik mungkin tidak dapat menggunakan khidmat kapten, Harry Maguire yang masih belum pulih daripada kecederaan.

“Hari lahir isteri saya pada 26 hari bulan dan kami berkahwin pada 26 hari bulan juga, jadi saya harus percaya kepada takdir.

“Ia nombor istimewa bukan sahaja untuk kami, tetapi untuk keluarga saya juga.

“Saya tidaklah terlalu percaya sangat perkara mistik tetapi harus menganggap ia sebagai petanda baik,” katanya. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top