Lens: Lens kembali merampas kedudukan teratas Ligue 1 selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan bawahan, Auxerre, awal pagi tadi, manakala Marseille bangkit bergaya untuk terus mengekori rapat pendahulu.
Juara Perancis dan Eropah, Paris Saint Germain, sebelum itu sempat merampas puncak liga hasil kemenangan 3-0 ke atas Lille di laman sendiri, dengan Ousmane Dembele menjadi watak utama.
Namun, Lens tidak menunggu lama untuk membalas apabila melanjutkan rentak kemenangan kepada 10 perlawanan dalam semua kejohanan, hasil jaringan separuh masa kedua oleh Wesley Said di Stade Bollaert Delelis.
Gol liga kelapan musim ini oleh Said sudah memadai untuk menghadiahkan tiga mata kepada pasukan kendalian Pierre Sage, sekali gus memulihkan kelebihan satu mata di puncak carta.
Lens yang buat pertama kali sejak awal Disember memulakan perlawanan tanpa status pendahulu liga, tampak berhati-hati pada awal aksi.
Saud Abdulhamid menguji penjaga gol pelawat, Donovan Leon, dalam tempoh 10 minit pertama sebelum penyokong tuan rumah merayu sepakan penalti apabila kapten Adrien Thomasson terjatuh di dalam kotak penalti.
Auxerre hampir mencuri kelebihan pada separuh masa pertama menerusi percubaan Naouirou Ahamada yang hanya melintasi sisi tiang, ketika masa kecederaan separuh masa pertama.
Sage kemudian mengakui bimbang dengan kecenderungan pasukannya yang bermula perlahan kebelakangan ini.
“Saya tidak fikir kami kehabisan tenaga kerana jika itu berlaku, kami tidak mampu bangkit seperti di separuh masa kedua.
Dalam apa jua keadaan, ini petanda yang perlu diambil serius.”
Nasihat Sage jadi penentuApa yang disampaikan Sage ketika rehat jelas berkesan apabila Lens tampil lebih agresif selepas rehat, namun Said dan Matthieu Udol dinafikan oleh pertahanan kental Auxerre.
Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-65 apabila Said mempamerkan ketenangan tinggi mengawal hantaran Malang Sarr sebelum melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan Leon.
Auxerre tidak mengalah mudah apabila Lamine Sy hampir menyamakan kedudukan,
namun penjaga gol Lens, Risser, memastikan gawangnya kekal kebal.Juara Piala Dunia 2018, Florian Thauvin, hampir menggandakan kelebihan Lens sebelum Leon melakar aksi menyelamat cemerlang, manakala Mamadou Sangare mensia-siakan peluang keemasan pada saat akhir.
Kemenangan itu adalah ke-14 Lens musim ini, manakala kekalahan menyaksikan Auxerre kekal di tangga ke-17, empat mata dari zon selamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




