Pelaksanaan gaji permulaan RM2,500 tidak harus jejas elaun, syarat pekerjaan – ABIM

Pelaksanaan gaji permulaan RM2,500 tidak harus jejas elaun, syarat pekerjaan – ABIM

Kuala Lumpur: Pengenalan kadar gaji permulaan RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2027 perlu dilaksanakan tanpa menjejaskan elaun atau syarat pekerjaan sedia ada, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, kategori pekerjaan, liputan majikan, tarikh kuat kuasa dan mekanisme pelaksanaan kadar itu perlu diperjelas bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati golongan pekerja.

“Penguatkuasaan hendaklah memastikan manfaat kenaikan gaji asas tidak dihakis melalui pengurangan elaun atau perubahan syarat pekerjaan yang merugikan pekerja,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan gaji minimum sebanyak RM2,500 sebulan bagi graduan dan pekerjaan separa mahir sebagai permulaan menerusi pembaharuan kerangka pendapatan pekerja.

Anwar berkata, langkah itu bertujuan memastikan kadar upah yang diterima pekerja lebih setimpal dengan tahap kelayakan dan kemahiran mereka.

Ahmad Fahmi ketika mengulas kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 yang berkuat kuasa pada Jun 2027 berkata ABIM mengambil kira kemampuan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menanggung peningkatan kos upah dan caruman.

Beliau bagaimanapun berkata, pengecualian bagi PMKS dengan hasil jualan di bawah RM50 juta perlu diperjelas, khususnya dari segi skop, tempoh dan jumlah pekerja yang tidak diliputi kadar baharu.

Menurut Ahmad Fahmi, kerajaan wajar menyediakan pelan peralihan dengan sasaran masa yang jelas serta sokongan bersasar bagi meningkatkan produktiviti berdasarkan kemampuan sebenar perusahaan.

“Kelangsungan perniagaan dan hak pekerja menikmati upah bermaruah perlu dipelihara bersama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan pakej bantuan penyelenggaraan, insurans dan caruman yang dibiayai bersama kerajaan dan Grab adalah langkah positif dan liputannya perlu diperjelas serta perlindungan diperluas kepada pekerja merentas platform.

“Penetapan kadar pendapatan minimum hendaklah mengambil kira pendapatan bersih selepas kos bekerja, dengan penglibatan wakil pekerja serta saluran penyelesaian pertikaian yang berkesan. Perlindungan sosial perlu berterusan apabila seseorang menggunakan beberapa platform atau bertukar pekerjaan,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata, pendaftaran automatik warganegara sebagai ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada usia 18 tahun pula perlu disertai sokongan mencarum bagi belia berpendapatan rendah dan tidak tetap.

Beliau berkata, pembukaan akaun mesti diikuti kemampuan membina simpanan manakala pembiayaan rumah dan perniagaan hendaklah sepadan dengan kemampuan membayar, disokong pilihan sewaan berpatutan berhampiran tempat kerja serta bimbingan dan akses pasaran bagi usahawan muda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top