London: Chelsea memulakan era baharu di bawah kendalian Liam Rosenior dengan kemenangan 2-0 ke atas jiran London, Brentford, dalam aksi Liga Perdana Inggeris, meskipun tuan rumah bernasib baik apabila lawan mensia-siakan beberapa peluang keemasan.
Chelsea yang melalui sembilan perlawanan liga dengan hanya satu kemenangan sebelum ini, mencatat hanya dua percubaan tepat sepanjang perlawanan walaupun Brentford lebih dominan pada kebanyakan tempoh.
Jaringan pembukaan hadir pada minit ke-26 apabila Joao Pedro memusing dan melepaskan rembatan padu ke penjuru atas gawang Caoimhin Kelleher.
Gol itu pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid, namun disahkan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Cole Palmer yang kembali selepas pulih daripada kecederaan ringan, menggandakan kelebihan menerusi sepakan penalti pada minit ke-76 selepas Kelleher gagal mengawal bola sebelum menjatuhkan pemain gantian, Liam Delap.
Kemenangan itu melonjakkan Chelsea ke tangga keenam liga, memintas Brentford yang sebelum ini tidak tewas dalam enam perlawanan liga.
Brentford mensia-siakan beberapa peluang terbaik termasuk apabila Kevin Schade memilih untuk membuat hantaran berbanding menyudahkan peluang terbuka pada separuh masa pertama, manakala Mathias Jensen melepaskan rembatan ke tiang ketika tidak dikawal.
Lima minit separuh masa kedua, Schade sekali lagi gagal menebus kesilapan apabila percubaannya disekat kaki penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez.
Rosenior memuji semangat juang barisan pemainnya walaupun mengakui pasukan belum mempamerkan gaya permainan menyerang seperti yang diimpikannya.
“Ia ujian sebenar dan kadang-kadang anda perlu menang dengan cara berbeza.
“Bagi saya, yang penting adalah kemenangan. Kami belum bermain bola sepak bebas seperti yang saya mahukan, tetapi tugas diselesaikan,” kata beliau kepada wartawan.
Chelsea sebelum ini menang 5-1 ke atas Charlton Athletic dalam Piala FA, namun tewas 2-3 kepada Arsenal pada separuh akhir Piala Liga, Rabu lalu.
Rosenior turut memaklumkan pemain sayap Brazil, Estevao, tidak disenaraikan kerana jangkitan virus yang turut menjejaskan beberapa pemain lain.
Sementara itu, pengurus Brentford, Keith Andrews, mengakui pasukannya kurang tajam di depan gol.
“Kami tidak cukup klinikal dengan peluang yang dicipta.
“Prestasi keseluruhan membanggakan dan perkembangan pasukan jelas kelihatan,” kata beliau kepada BBC.
© New Straits Times Press (M) Bhd




