PETALING JAYA: Seramai 12,629 pekerja warga Thailand direkodkan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) aktif dalam sektor masakan dan perkhidmatan restoran sehingga 15 September lalu, sekali gus menafikan dakwaan jumlah mereka mencecah 200,000 orang.
Daripada jumlah itu, seramai 12,541 orang merupakan tukang masak Thai terdiri daripada 7,559 lelaki dan 4,972 wanita.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, selain tukang masak, seramai 43 warga Thailand bekerja sebagai krew restoran, diikuti 38 pekerja kedai makan dan tujuh pekerja restoran.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Dakwaan bahawa terdapat 200,000 warga Thailand bekerja di kira-kira 5,000 restoran tomyam di Malaysia tidak dapat disahkan.
“Bagaimanapun, JIM akan terus menjalankan penguatkuasaan terhadap majikan atau premis yang menggaji warga asing tanpa pas atau permit kerja yang sah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam perkembangan sama, Zakaria berkata, seramai 2,316 warganegara Thailand ditahan dalam operasi penguatkuasaan kerana menyalahgunakan pas mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, bagi tempoh 2025 hingga 15 September lalu.
Katanya, operasi JIM kini bukan sahaja tertumpu kepada warga asing tanpa dokumen, malah turut menyasarkan majikan, ejen serta individu yang melindungi atau mengambil kesempatan terhadap Pendatang Tanpa Izin (PATI).
“Majikan yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Sebelum ini, pada 1 Oktober lalu, pihak berkuasa pembangunan wilayah Selatan Thailand mendakwa lebih 100,000 warga Thailand yang bekerja di restoran tomyam di Malaysia tidak mempunyai permit kerja sah.
Pemangku Setiausaha Agung SBPAC, Chonthanya Saengphum mendakwa kira-kira 200,000 warga Thailand bekerja di sekitar 5,000 restoran tomyam di Malaysia, dengan lebih 50 peratus dikatakan tidak memiliki permit kerja sah. – UTUSAN




