aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Masters Indonesia bukan medan wajib menang buat skuad perseorangan wanita negara, sebaliknya platform membina asas kukuh menjelang tugasan lebih besar di peringkat Asia dan dunia.
Jurulatih perseorangan wanita Malaysia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, menegaskan keutamaan pasukan kini adalah proses pembangunan pemain, bukan keputusan segera di kejohanan Siri Super 500 itu.
Malaysia diwakili K Letshanaa yang menghuni ranking ke-42 dunia dan Wong Ling Ching di ranking ke-43 dunia, namun Iskandar mahu kedua-duanya keluar sebagai pemain lebih matang, bukan sekadar pemburu kemenangan pantas.
Menurutnya, kejohanan di Istora Senayan menjadi penanda aras penting sebelum skuad negara mengharungi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Qingdao, China dari 3 hingga 8 Februari, diikuti Piala Uber pada April.
“Kami bergerak secara berperingkat dan buat masa ini jangkaan saya tidak terlalu tinggi kerana sasaran utama adalah kejohanan berpasukan bulan depan,” kata Iskandar.
Letshanaa sebelum ini mara ke pusingan kedua edisi lalu selepas melepasi saingan kelayakan, manakala Ling Ching bakal membuat penampilan sulung di kejohanan Siri Super 500 bermula di pusingan kelayakan.
Iskandar berharap Ling Ching mampu menembusi undian utama memandangkan statusnya sebagai pemain pilihan nombor satu di pusingan kelayakan.
Beliau menjelaskan Masters Indonesia menjadi medan menguji sejauh mana latihan dapat diterjemahkan dalam suasana pertandingan sebenar, khususnya di Istora Senayan yang terkenal dengan tekanan tinggi.
Menurutnya, pemain perlu belajar mengawal emosi, membuat keputusan tepat dan kekal tenang ketika mata kritikal dalam perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




