Parlimen: DBKL ambil tindakan terhadap 602 unit PA dan PPR, 323 dikosongkan

Parlimen: DBKL ambil tindakan terhadap 602 unit PA dan PPR, 323 dikosongkan

asmaini@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 602 unit Perumahan Awam (PA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara atas pelbagai pelanggaran syarat serta peraturan, dari Januari hingga akhir September lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 323 unit berjaya dikosongkan dengan 193 unit sudah ditawarkan kepada pemohon, manakala baki 130 unit masih dalam proses penawaran kepada 234 pemohon secara berperingkat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata DBKL turut melaksanakan proses pemutihan data permohonan bagi memastikan unit PA dan PPR yang terhad dapat dioptimumkan serta ditawarkan kepada pemohon yang layak dan memerlukan.

Beliau berkata, bagi tempoh 2024 hingga 2026, DBKL menerima 4,395 permohonan, manakala 4,444 permohonan sudah dibawa ke Jawatankuasa Peruntukan Rumah Awam (JKPRA), merangkumi permohonan baharu dan rayuan.

“Untuk tahun 2026 sahaja, DBKL menerima sebanyak 1,372 permohonan dan daripada jumlah itu, hanya 427 sahaja yang layak dengan 193 pemohon sudah ditawarkan kediaman.

“Statistik itu jelas menunjukkan jumlah kekosongan unit PA mahupun PPR yang tersedia adalah terhad. Sehubungan itu, DBKL melaksanakan proses penguatkuasaan terhadap penyewa sedia ada, khususnya membabitkan penyewa yang mempunyai tunggakan sewa yang tinggi, tidak mematuhi syarat-syarat penyewaan serta tidak lagi memenuhi kelayakan untuk terus menyewa di unit PA/PPR.

“Tindakan sewajarnya diambil berdasarkan peraturan dan syarat penyewaan yang berkuat kuasa termasuk tindakan penamatan penyewaan dan pengosongan unit bagi kes-kes yang berkaitan,” katanya menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen malam ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PAS – Arau) mengenai tindakan kerajaan bagi menangani isu isi rumah yang masih menunggu perumahan awam di Kuala Lumpur, jumlah unit tambahan yang diperlukan untuk memenuhi permintaan itu serta sasaran kerajaan untuk mengurangkan senarai menunggu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Hannah berkata, DBKL turut mengemas kini maklumat permohonan bagi memastikan senarai menunggu hanya membabitkan pemohon yang masih aktif dan memenuhi syarat kelayakan.

Beliau berkata, DBKL tidak mempunyai perancangan untuk menyediakan unit tambahan PA atau PPR bagi menampung keseluruhan permintaan ketika ini.

Sebaliknya, usaha mengurangkan senarai menunggu akan ditumpukan kepada pengoptimuman unit sedia ada, termasuk pengurusan kekosongan, pemutihan penyewa dan penawaran semula unit kepada pemohon layak.

Hannah turut menggalakkan pemohon berkemampuan supaya memohon skim perumahan mampu milik, khususnya Residensi Wilayah dan Residensi MADANI, bagi membolehkan PA dan PPR terus mengutamakan golongan berpendapatan rendah.

Untuk rekod, DBKL mengurus dan menyelia 32,127 unit kediaman sewa PA dan PPR di ibu negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top