HSJ lakar sejarah mula khidmat angiogram dan angioplasti jantung, PM ucap tahniah

HSJ lakar sejarah mula khidmat angiogram dan angioplasti jantung, PM ucap tahniah

Georgetown: Hospital Seberang Jaya (HSJ) melakar sejarah sebagai hospital Tahap 2 pertama di Semenanjung yang menawarkan prosedur angiogram dan angioplasti, sekali gus memperluas akses kepada rawatan jantung khusus untuk penduduk Seberang Perai dan kawasan sekitarnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengucapkan tahniah kepada warga hospital berkenaan berkata peluasan perkhidmatan itu dijangka dapat memendekkan tempoh menunggu serta mengurangkan keperluan pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Januari lalu, saya telah berkunjung ke HSJ untuk merasmikan bangunan baharu hospital ini. Perkembangan hari ini tentunya menggembirakan tatkala peningkatan fasiliti telah disusuli dengan peluasan rawatan kepakaran yang amat diperlukan penduduk Seberang Perai dan sekitarnya.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada doktor, jururawat, petugas kesihatan serta pengurusan hospital dan Kementerian Kesihatan (KKM) atas kejayaan ini. Kepakaran dan khidmat kalian memberi harapan kepada pesakit serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan kesihatan awam negara,” kata beliau menerusi media sosial malam ini.

Anwar berkata Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh keupayaan hospital awam supaya lebih ramai rakyat mendapat rawatan berkualiti dengan lebih pantas demi memelihara nyawa serta kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kardiologi Negeri Pulau Pinang Datuk Dr Mohamed Jahangir Abdul Wahab berkata pengoperasian Makmal Kardiologi Invasif HSJ yang membolehkan prosedur angiogram dan angioplasti koronari dilaksanakan merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti.

Dr Mohamed Jahangir yang juga Ketua Jabatan Kardiologi HPP berkata inisiatif itu susulan usaha Perdana Menteri dan KKM untuk memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada rawatan khusus yang diperlukan.

“Matlamat utama peluasan perkhidmatan itu adalah untuk memastikan pesakit mendapat rawatan jantung berkualiti, tepat pada masanya dan lebih dekat dengan tempat tinggal mereka tanpa perlu menunggu terlalu lama.

“Dengan peningkatan beban penyakit kardiovaskular dan permintaan terhadap rawatan jantung yang semakin kompleks, peluasan perkhidmatan Kardiologi Dewasa di HSJ merupakan satu langkah strategik yang amat signifikan,” katanya kepada Bernama.

Dr Mohamed Jahangir berkata perancangan jangka panjang turut dirangka bagi memperkukuh HSJ sebagai pusat rawatan jantung yang lebih komprehensif, termasuk pengendalian kes kardiologi dewasa yang kompleks serta peluasan kepada perkhidmatan pembedahan kardiotorasik yang disasarkan menjelang pertengahan 2027.

Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja bakal meningkatkan kapasiti rawatan jantung di Pulau Pinang, tetapi juga berpotensi menjadikan HSJ sebagai sebuah lagi pusat rujukan utama perkhidmatan kardiovaskular bagi wilayah utara Semenanjung.

Pembangunan perkhidmatan Kardiologi Dewasa di HSJ dilaksanakan secara berperingkat sejak 2023, bermula dengan penempatan seorang pakar kardiologi sebelum diperkukuh menerusi penempatan pakar kardiologi secara berkala sehingga membawa kepada penubuhan Unit Kardiologi.

Unit itu kini dilengkapi empat katil Unit Rawatan Koronari (CCU) dan 15 katil Wad Rawatan Koronari (CRW), selain Makmal Kardiologi Invasif yang mempunyai sistem angiografi serta peralatan elektrofisiologi moden.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top