am@hmetro.com.my
Masjid Tanah: Barisan Nasional (BN) berjaya meletakkan garis sempadan bagi mengelakkan politik kebencian, hasutan dan fitnah sepanjang lima hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh, berkata pendekatan berkempen secara berhemah itu mencerminkan kematangan politik yang diamalkan parti berkenaan pada pilihan raya kali ini.
“Saya lihat jentera begitu bersemangat untuk memastikan semua gerak kerja menuju 14 November ini berjalan lancar dan ceramah juga mendapat sambutan yang baik.
“Penerangan sudah diberikan dan isu semasa tidak menjurus kepada politik kebencian, politik hasutan ataupun politik fitnah.
“Kita melihat kempen politik kali ini berjaya meletakkan satu garis sempadan yang cukup baik, berhemah dan tidak dilepasi oleh mana-mana parti,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan ceramah kempen Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Kampung Lubok Redan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz.
Ab Rauf yang juga calon BN bagi DUN Tanjung Bidara berkata, suasana kempen ketika ini turut memperlihatkan amalan politik matang yang berteraskan adat dan budaya masyarakat Melaka.
“Ini satu politik matang yang lahir daripada adat dan budaya orang Melaka.
“Orang Melaka ini nampak kasar, tetapi sebenarnya mereka bergurau,” katanya.
Mengulas kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN), beliau menyifatkan hubungan kedua-dua gabungan itu berada pada tahap terbaik dengan gerak kerja kempen dilaksanakan secara bersama.
Katanya, penyertaan anggota PN dalam program kempen BN turut memperlihatkan kerjasama erat antara kedua-dua pihak.
“Macam malam ini pun, semua gerak kerja kita jalankan bersama. Kita berkempen, orang PAS datang, orang PN datang.
“Ia memberikan satu keputusan dan rumusan yang cukup baik untuk kita bersama-sama meneruskan kempen ini dalam suasana politik yang begitu matang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




