Polis kesan 7 lelaki bergaduh di luar pusat beli-belah di Skudai

Polis kesan 7 lelaki bergaduh di luar pusat beli-belah di Skudai

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis sedang menyiasat motif atau punca pergaduhan membabitkan tujuh lelaki di hadapan sebuah pusat beli-belah di Taman Bukit Indah, Skudai di sini, semalam.

Selain itu, polis turut dalam usaha mengesan mereka yang terbabit.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berhubung kejadian itu pada jam 10.27 malam.

Beliau berkata, pergaduhan itu turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah kereta awam yang berada di sekitar lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan itu berlaku di luar kawasan pusat beli-belah berkenaan membabitkan tujuh lelaki sehingga menyebabkan sebuah kereta milik orang awam yang diletakkan di sekitar kawasan kejadian mengalami kerosakan.

“Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Terdahulu, insiden itu turut dirakam sebelum video berdurasi 13 saat itu tular di media sosial dan menarik perhatian orang ramai.

Radin Ramlan berkata, pihaknya sedang giat mengesan semua suspek yang terbabit dalam kejadian itu.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya kepada Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486 atau terus ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak bertindak mengikut emosi sehingga boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan rakyat di Johor,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top