asmaini@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pelaku jenayah siber di luar negara sekiranya jenayah berkenaan membabitkan sistem di negara ini atau mangsanya warga Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata peruntukan itu terkandung dalam Fasal 2 Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026, mengambil kira sifat jenayah siber yang merentasi sempadan negara.
“Kerajaan juga menggunakan mekanisme kerjasama antarabangsa yang sedia ada untuk memastikan penjenayah luar negara dapat disiasat. Pelaku juga boleh didakwa dan jika memenuhi syarat akan diekstradisi ke Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) sama ada kerangka perundangan sedia ada berkaitan jenayah siber memadai menangani penipuan dalam talian berasaskan kecerdasan buatan (AI) termasuk penyamaran identiti, deepfake dan manipulasi digital serta apakah peruntukan khusus yang diperkukuh bagi mempercepat tindakan terhadap sindiket dan melindungi mangsa.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata RUU Jenayah Siber 2026 yang diluluskan Parlimen pada Julai lalu digubal bagi menangani penipuan dalam talian menggunakan teknologi AI serta memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563].
Katanya, Fasal 23 RUU berkenaan turut memperluas skop kesalahan penyamaran digital yang dilakukan menggunakan sistem komputer.
“Undang-undang sedia ada tidak lagi mencukupi untuk menangani deepfake, yang mampu menghasilkan video, imej dan suara palsu yang sukar dibezakan daripada yang asli untuk digunakan bagi tujuan penipuan dan memperdaya orang awam.
“Justeru, fasal 23 memperluaskan skop kesalahan berhubung dengan jenayah penyamaran yang dilakukan menggunakan sistem komputer,” katanya.
Bagi mempercepat tindakan terhadap sindiket jenayah siber, RUU itu turut menyediakan kuasa penyiasatan menerusi Fasal 38 hingga 41, membabitkan pemeliharaan data, penzahiran data, pengumpulan data trafik dan pemintasan komunikasi.
Ahmad Zahid berkata, kuasa berkenaan penting kerana bukti digital boleh dipadam, diubah atau dipindahkan dalam tempoh singkat, namun pelaksanaannya tertakluk kepada mekanisme kawalan ditetapkan.
Dari sudut perlindungan mangsa pula, Fasal 54 memberi kuasa kepada mahkamah mengeluarkan perintah bagi mencegah atau menghentikan pelanggaran undang-undang atas permohonan Pendakwa Raya atau pegawai diberi kuasa, sama ada suspek sudah didakwa atau belum.
“Antara perintah yang boleh dikeluarkan termasuklah perintah pemberhentian, perintah restitusi kepada mangsa, perintah pematuhan serta perintah sekatan harta bagi mengelakkan aset seperti wang hasil penipuan dilesapkan.
“Secara keseluruhan, penguatkuasaan RUU Jenayah Siber 2026 memperkasakan agensi penguatkuasaan, pemberian kuasa penyiasatan yang responsif dan peruntukan bidang kuasa merentas sempadan bagi menyekat aktiviti jenayah siber termasuklah penipuan dalam talian yang menggunakan teknologi AI,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




