am@hmetro.com.my
Kemaman: Kerja-kerja membersih tumpahan arang batu di sepanjang Pantai Teluk Kalong, dekat sini, akan dilakukan dengan secepat mungkin.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya bersama Jabatan Alam Sekitar JAS sudah memanggil syarikat perkapalan terbabit untuk perbincangan.
“Hasil daripada perbincangan itu, syarikat perkapalan sudah bersetuju untuk membersih tumpahan arang batu mulai minggu depan.
“Pembersihan akan dibuat di sepanjang pantai serta tumpahan di dalam laut,” katanya.
Razali berkata, pihak syarikat terbabit memberi jaminan kerja-kerja pembersihan itu akan dilakukan dengan mengambil masa dalam tempoh sebulan.
“Sementara itu, kerja mengalih tongkang yang tersadai mengambil masa yang agak panjang.
“Kita berharap pantai ini kembali bersih memandangkan kawasan pantai ini menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JAS Terengganu, Hamzah Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung dengan tumpahan itu pada 11 Januari.
“Pihak kami akan memantau kerja-kerja pembersihan itu sehingga pantai kembali bersih.
“Pengunjung diminta tidak bimbang kerana arang batu terbabit bukan bahan buangan berjadual dan tidak menjejaskan alam sekitar,” katanya.
Dalam kejadian minggu lalu, sebuah tongkang yang membawa muatan arang batu seberat 7,000 tan dalam perjalanan dari Indonesia ke Vietnam hanyut dipukul ombak sebelum terlanggar batu.
Keadaan itu menyebabkan arang batu terbabit tumpah sehingga memenuhi sepanjang pantai berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




