lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya sedar ada banyak komen-komen yang negatif berhubung kematian isteri, Allahyarham Nadia Kesuma.
“(Tetapi) Saya tak salahkan siapa-siapa,” kata suami pelakon itu, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah.
Muhammad Kamarul berkata, beliau bersama anaknya berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan akan berlepas ke Jeddah bagi menguruskan urusan berkaitan pemergian isterinya.
“Isteri saya, Nadia Kesuma menghembuskan nafas terakhir di Lapangan Terbang Jeddah dua hari lalu.
“Saya reda dengan ketentuan Allah dan tidak menyalahkan sesiapa terhadap segala komen yang timbul,” katanya dalam kiriman video Facebook Nuh Travel & Tours, hari ini.
Menurutnya, pemergian Allahyarham ke Tanah Suci seolah-olah sudah menjadi impian isterinya sejak pulang daripada menunaikan umrah tahun lalu.
“Sejak balik umrah tahun lepas, dia sering menyebut mahu ke sana lagi.
“Rupanya Allah memang memilih bumi anbia ini sebagai tempat terakhirnya. Masya-Allah,” katanya.
Beliau turut berkongsi detik terakhir menghantar isterinya ke KLIA sebelum berangkat ke Tanah Suci, minggu lalu, menyifatkan perjalanan kali ini berbeza kerana Allahyarham pergi bersama jemaah yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini.
“Saya ingin merakamkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan, khususnya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas) yang banyak membantu kami sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Nuh Travel & Tours, Adam Jalal berkata, pihaknya bersama Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dan wakil muassasah sudah menguruskan sepenuhnya keperluan waris termasuk penginapan, logistik dan pengangkutan.
“Segala urusan berkaitan penerbangan waris, pengurusan di Jeddah serta proses sehingga pengebumian esok sedang dan akan terus kami laksanakan dengan penuh tanggungjawab.
“Saya turut memohon seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar roh Allahyarham Nadia Kesuma dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman,” katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan Nadia Kesuma nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, yang juga pelakon filem Munafik, disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung pada Khamis lalu, iaitu hari sama beliau dilaporkan hilang di Jeddah, Arab Saudi.
Terdahulu, dalam satu hantaran di media sosial, Muhammad Kamarul berkata, isterinya itu dilaporkan hilang selepas gagal dikesan ketika transit di lapangan terbang di Jeddah ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke London.
Nadia Kesuma adalah sebahagian daripada 21 peserta pakej lawatan Umrah Ziarah London Paris dianjurkan Nuh Travel & Tours Sdn Bhd.
Mereka berlepas dari Kuala Lumpur dan transit di Jeddah, seterusnya ke London dan Paris, sebelum kembali ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




