lizamridzuan@hmetro.com.my
Subang Jaya: PROTON mencatat jualan 21,624 unit pada Oktober, sekali gus merekodkan jualan bulanan kedua tertinggi bagi 2026 dan permulaan suku keempat terbaik sejak 2005.
Pencapaian itu meningkatkan jualan terkumpul setakat Oktober (YTD) kepada 182,510 unit, meningkat 40.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu sekali gus mengatasi keseluruhan jualan sepanjang 2025.
PROTON turut mencatat anggaran pegangan pasaran 30.6 peratus pada Oktober, manakala YTD mencapai 27.1 peratus.
Jumlah volum industri (TIV) pula dianggarkan melebihi 70,000 unit bagi bulan berkenaan.
Berdasarkan prestasi semasa, PROTON semakin hampir mencapai sasaran jualan 200,000 unit tahun ini, angka yang kali terakhir dicatatkan pada 2002.
TIV industri automotif Malaysia pula dijangka melepasi 800,000 unit untuk tahun ketiga berturut-turut.
Proton Saga kekal sebagai penyumbang utama dengan jualan 7,352 unit pada Oktober, menjadikan jumlah YTD sebanyak 75,589 unit, sekali gus mengatasi keseluruhan jualannya pada 2025.
Model itu turut kekal sebagai kenderaan kedua paling laris di Malaysia tahun ini.
Proton S70 mencatat jualan 3,029 unit pada Oktober, meningkatkan jumlah YTD kepada 23,448 unit, iaitu pertumbuhan 63.5 peratus.
Sementara itu, S70 i-GT Tahun Model 2027 varian Lite dan Prime merekodkan jualan 2,338 unit.
Bagi segmen SUV, Proton X50 mencatat jualan 1,925 unit pada Oktober dengan jumlah YTD sebanyak 22,088 unit.
Proton X90 pula merekodkan jualan bulanan terbaik sebanyak 478 unit, menjadikan jumlah YTD sebanyak 3,728 unit, meningkat 75.6 peratus.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir Abdul Rashid Musa berkata, peningkatan itu mencerminkan permintaan berterusan terhadap model enjin pembakaran dalaman (ICE) serta kenderaan elektrik dan elektrifikasi (xEV) syarikat.
“Tahun 2026 terbukti sebagai tahun yang menyaksikan PROTON mencatat lonjakan ketara dalam jumlah jualan ketika kami terus berusaha merealisasikan matlamat jangka panjang syarikat.
“Seiring usaha memperluaskan rangkaian xEV, permintaan terhadap model ICE PROTON juga terus meningkat,” katanya.
Dalam segmen xEV, rangkaian Proton e.MAS mencatat jualan terkumpul 35,730 unit setakat Oktober dengan pegangan pasaran 33.2 peratus.
Proton e.MAS 5 mendahului dengan jualan 2,437 unit pada Oktober, menjadikan jumlah YTD sebanyak 23,189 unit. e.MAS 7 PHEV dan e.MAS 7 masing-masing mencatat 710 dan 616 unit.
Sementara itu, eksport PROTON dan Geely mencatat rekod baharu dengan 2,610 unit dihantar ke pasaran luar negara pada Oktober.
Jumlah eksport YTD meningkat kepada 9,980 unit, lebih dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.
Rashid berkata, peningkatan eksport turut merancakkan pesanan komponen daripada vendor tempatan, sekali gus meningkatkan penggunaan kapasiti pengeluaran dan ekonomi skala.
© New Straits Times Press (M) Bhd




