HYROX Malaysia tarik balik kerjasama dengan jenama arak

HYROX Malaysia tarik balik kerjasama dengan jenama arak

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kontroversi penajaan syarikat minuman beralkohol bagi acara HYROX Kuala Lumpur 2026 akhirnya menemui titik noktah apabila penganjur memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasama bagi edisi di Malaysia.

Keputusan itu diumumkan HYROX Malaysia menerusi satu kenyataan susulan kebimbangan dan bantahan yang timbul selepas syarikat minuman beralkohol diperkenalkan sebagai rakan rasmi serantau acara berkenaan.

Penganjur turut mengakui kesilapan kerana tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat tempatan, khususnya berkaitan kepercayaan agama dan nilai budaya di Malaysia.

“Kami memahami mengapa perkara ini menimbulkan kebimbangan dan rasa tersinggung. Kami sepatutnya memberikan pertimbangan lebih mendalam terhadap kepercayaan agama dan nilai budaya masyarakat Malaysia.

“Kami melakukan kesilapan dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara itu,” menurut kenyataan berkenaan.

HYROX Malaysia turut memaklumkan keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama berkenaan, sekali gus menamatkan persoalan mengenai penajaan itu bagi perlumbaan di Malaysia.

Dalam pada itu, penganjur turut menghargai komitmen peserta yang sudah membuat persiapan untuk menyertai acara berkenaan, termasuk masa dan tenaga yang dilaburkan sepanjang menjalani latihan.

“Kepada semua yang sedang berlatih untuk perlumbaan ini dan menantikan peluang menjadi sebahagian daripadanya, kami menghargai masa serta usaha yang sudah anda berikan.

“Kami menantikan kehadiran anda di garisan permulaan,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan tidak akan meluluskan penganjuran HYROX Kuala Lumpur 2026 selagi tajaan syarikat minuman beralkohol tidak ditarik balik sepenuhnya, termasuk pengeluaran semua logo, cap dagangan dan bahan promosi daripada saluran rasmi acara serta lokasi pertandingan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top