Maklumat perjawatan tular, MINDEF beri amaran penyebar maklumat sulit ATM

Maklumat perjawatan tular, MINDEF beri amaran penyebar maklumat sulit ATM

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat sulit berkaitan urusan perjawatan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di media sosial.

Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang secara terbuka dan berani menyebarkan naratif spekulasi berkaitan urusan perjawatan strategik ATM di media sosial.

“MINDEF menegaskan bahawa tindakan tersebut, termasuk menularkan senarai nama pegawai kanan ATM adalah satu bentuk salah laku yang jelas mencabar kredibiliti sistem pengurusan pertahanan negara.

“Tindakan mendahului proses rasmi ini bukan sahaja membuka ruang kepada persepsi negatif, malah boleh menjejaskan moral pegawai serta mengganggu gugat rantaian pemerintahan dalam ATM,” kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan MINDEF itu, sebarang ketetapan perjawatan dan kenaikan pangkat pegawai ATM adalah tertakluk kepada perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM atas nasihat Majlis Angkatan Tentera (MAT).

Katanya, sebarang hebahan pramatang dianggap sebagai satu bentuk ketidakhormatan kepada institusi Diraja dan hierarki kepimpinan ATM.

“MINDEF ingin memberi peringatan bahawa sebaran maklumat sulit atau dalaman secara terbuka boleh mengundang ancaman kepada keselamatan maklumat serta kedaulatan negara.

“Pihak yang terbabit dinasihatkan supaya menghentikan serta-merta sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan, mencemarkan imej ATM, serta mengelirukan masyarakat,” katanya.

MINDEF berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebarkan maklumat sulit kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, ia termasuk di bawah Akta Angkatan Tentera 1972 atau Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berikutan penyebaran maklumat dalaman kerajaan di platform media sosial.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memuat naik, mengulas atau menyebarkan semula kandungan berunsur spekulasi tersebut, sebaliknya merujuk pengumuman rasmi melalui saluran Kementerian dan ATM,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top