Rabat: Pemain Senegal meninggalkan padang sebagai tanda protes terhadap sepakan penalti yang diberikan ke atas mereka, sebelum kembali untuk menewaskan Maghribi 1-0 pada masa tambahan dan menjulang trofi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) di final dalam suasana penuh kekecohan, awal pagi tadi.
Pemain tengah, Pape Gueye menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-94 selepas bintang Maghribi, Brahim Diaz mensia-siakan peluang untuk memastikan kemenangan buat pasukan tuan rumah apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti pada detik akhir masa sebenar, susulan kelewatan selama 14 minit.
Jurulatih Senegal, Pape Bouna Thiaw mengarahkan pemainnya keluar padang dan kapten pasukan, Sadio Mane menjadi watak penting yang memujuk mereka untuk kembali.
Sepakan penalti itu diberikan susulan semakan VAR (video bantuan pengadil) oleh pengadil dari Congo, Jean-Jacques Ndala, selepas Diaz ditarik jatuh oleh bek kanan Senegal, El Hadji Malick Diouf, ketika mempertahankan sepakan sudut lima minit pada masa kecederaan.
Pegawai dan pemain bertembung antara satu sama lain ketika pengadil merujuk skrin di tepi padang dan sekali lagi apabila Senegal meninggalkan padang.
Selepas pemain kembali ke padang, Diaz secara tidak dapat dijelaskan cuba melakukan sepakan gaya Panenka dan sepakan lemahnya mudah ditangkap oleh penjaga gol Senegal, Edouard Mendy.
Tindakan Senegal itu akan dilihat sebagai satu noda besar terhadap kejohanan yang sebaliknya berjalan dengan jayanya, walaupun kekalahan itu meneruskan rekod hambar Maghribi dalam kejohanan ini, yang hanya pernah dimenangi mereka sekali sebelum ini, 50 tahun lalu.
Senegal yang memenangi dua daripada tiga edisi terakhir, menghadiahkan kekalahan pertama kepada Maghribi yang berada di ranking teratas dunia selepas 27 perlawanan antarabangsa tanpa tewas.
Sepakan padu Gueye gagal diselamatkan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou dan beliau dipaksa melakukan beberapa lagi aksi menyelamat penting, begitu juga rakan sejawatnya, Mendy, dalam perlawanan yang berlangsung secara terbuka dari hujung ke hujung padang.
“Kami benar-benar mahu menang di sini,” kata Gueye.
“Ia perlawanan yang sangat sukar tetapi kami memberikan segala-galanya.”
Setiap gerakan Senegal disambut dengan siulan nyaring daripada 66,526 penonton, namun mereka tidak gentar dan terus memberi tekanan kepada Maghribi.
Senegal menjaringkan gol dua minit ke dalam masa kecederaan menerusi kekecohan di hadapan gawang, namun jaringan itu dibatalkan selepas Abdoulaye Seck menolak Achraf Hakimi ketika menyusun gerakan.
“Kami benar-benar kecewa untuk seluruh rakyat Maghribi,” kata jurulatih mereka, Walid Regragui.
“Apabila anda mendapat sepakan penalti pada minit terakhir, kemenangan kelihatan begitu hampir, tetapi akhirnya bola sepak menghukum anda.
“Kami mengucapkan tahniah kepada Senegal, walaupun apa yang ditunjukkan tentang bola sepak Afrika agak mengecewakan, mengambil kira segala yang berlaku ketika sepakan penalti itu diberikan.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




