mahaizura@mediaprima.com.my
Kota Tinggi: Hukuman diterima Barisan Nasional (BN) daripada rakyat pada pilihan raya lalu menjadi titik perubahan yang mendorong parti itu bermuhasabah, menginsafi kelemahan dan tampil dengan pendekatan baharu kepada rakyat.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, tempoh hampir lapan tahun sejak BN kehilangan kuasa memberi ruang kepada parti itu menilai semula kelemahan sendiri sebelum kembali menawarkan sesuatu yang lebih baik kepada rakyat.
Katanya, BN mengakui bukan sebuah parti yang sempurna dan pengalaman berada di luar kerajaan serta tidak lagi menerajui pentadbiran negara menjadi proses pembelajaran penting buat parti itu.
“BN pun tak perfect (sempurna). Dulu kita kalah, kita pun sudah dihukum rakyat.
“Tetapi selepas hampir lapan tahun kita berada sekejap luar, sekejap dalam tetapi tidak menerajui kerajaan, saya rasa kita pun sudah ada masa untuk menginsafi.
“Ada masa untuk buat introspection (menilai semula), pandang ke dalam apa kelemahan kita dan kita sudah bersedia untuk menawarkan sesuatu (baharu) untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Santai Petang Bersama KJ di sini, semalam.
Dalam pada itu, Khairy berkata, Johor menjadi contoh bahawa kerajaan yang ditadbir tanpa gabungan mampu bergerak lebih pantas dan membuat keputusan dengan lebih berkesan.
“Saya tiada masalah dengan gabungan tetapi bila bergabung, kita hendak buat keputusan itu agak lambat. Biasalah bila kita ada kawan-kawan dalam kerajaan yang mungkin daripada parti lain.
“Jadi Malaysia berada dalam satu kedudukan di mana kita perlukan kerajaan stabil dan kuat macam Johor.
“Bila BN mentadbir Johor tanpa gabungan, dapat tempat nombor satu. Cepat buat kerja dan keputusan,” katanya.
Menurutnya, atas faktor itu, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjadi satu ‘test case’ unik bagi menilai keberkesanan pendekatan BN bertanding secara solo sebelum strategi sama dipertimbangkan pada PRN Negeri Sembilan, Melaka mahupun Pilihan Raya Umum (PRU).
“Saya yakin kepimpinan BN akan membuat keputusan dari semasa ke semasa mengikut keadaan tetapi Johor adalah satu ‘test case’ yang unik sebab kita dapat bertanding solo di sini.
“Selepas ini kita akan buat ‘post-mortem’ (bedah siasat). Menang atau kalah, menang besar atau menang sikit, kita akan buat post-mortem apakah kelebihan apabila kita pergi solo (atau) apa mungkin ada kelemahan kalau kita pergi solo.
“Jadi ini adalah satu medan ujian yang cukup baik untuk PRN akan datang dan PRU,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




