mukhriz.husin@bh.com.my
Kuala Lumpur: Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said sedia memohon maaf sekiranya ucapan beliau semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, termasuk penganut agama Kristian.
Noorazli berkata, kisah dikongsikannya dalam ucapan itu digunakan sebagai analogi bagi menekankan pengajaran mengenai kepentingan fokus, ketekunan dan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu matlamat.
Katanya, ia sama sekali tidak bermaksud untuk menghina, memperlekeh atau mempersendakan mana-mana individu, kepercayaan mahupun agama.
“Namun, saya memahami apabila sesuatu cerita menyentuh figura atau rujukan keagamaan, ia boleh ditafsirkan secara berbeza dan menimbulkan salah faham, khususnya dalam masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan.
“Sekiranya penyampaian saya ini menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut agama Kristian, saya dengan penuh rendah hati bersedia memohon maaf,” katanya dalam hantaran di Facebook pada hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mendesak individu yang didakwa membuat jenaka mengenai paderi pada PAU 2026 baru-baru ini memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
Beliau berkata, agama bukan perkara yang boleh dijadikan bahan jenaka mana-mana pihak selain menegaskan kenyataan Noorazli itu tidak menggambarkan pendirian UMNO, sebaliknya pandangan peribadi beliau.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa seorang pembahas pada PAU 2026 memohon maaf secara terbuka tanpa syarat kepada umat Katolik serta seluruh masyarakat Kristian.
Noorazli berkata, beliau mengambil maklum reaksi orang ramai berhubung isu itu selain, menjadikannya sebagai pengajaran supaya lebih berhati-hati dalam memilih analogi dan menyampaikan sesuatu pandangan pada masa hadapan.
“Saya menghormati setiap agama dan kepercayaan serta sentiasa menjunjung keharmonian, sikap saling menghormati dan persefahaman yang menjadi asas penting kepada kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.
“Semoga penjelasan ini dapat meredakan salah faham yang timbul dan kita dapat terus memelihara keharmonian serta semangat saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

