PRN Melaka: Kenyataan Ahmad Faizal pendirian peribadi – Ramanan

PRN Melaka: Kenyataan Ahmad Faizal pendirian peribadi – Ramanan

Jasin: “Bagi saya, itu pendirian peribadi beliau,” kata Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan mengulas kenyataan Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung tiada arahan dikeluarkan kepada akar umbi parti untuk menyokong calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi yang tidak bertembung pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, PH sentiasa terbuka untuk menjalin hubungan baik dengan mana-mana pihak atas dasar persahabatan, namun tidak akan teragak-agak untuk berhadapan dengan pihak yang memilih untuk menjadi lawan.

“Kalau kita lihat secara satu persahabatan, memang kita mengambil semua kesemuanya sebagai sahabat, kecuali dia nak jadi musuh.

“Kalau tiada pilihan lain, kita lawanlah. Tetapi kalau nak berkawan, seperti yang Datuk Seri Mohamad Sabu selalu katakan, kalau nak berkawan, kita boleh berkawan. Kalau nak lawan, kita boleh lawan,” katanya ketika ditemui di Kampung Ladang Jasin Lalang, di sini, hari ini.

Semalam, Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilapor berkata, walaupun tiada arahan dikeluarkan kepada ahli dan penyokong parti, pihaknya menghargai pendekatan PH yang menyatakan kesediaan untuk membantu BERSATU.

“Walaupun Adly Zahari (Pengerusi PH Melaka) menyatakan secara terbuka bahawa tiada halangan bagi pihak mereka untuk memberi sokongan kepada kami di kawasan yang tidak ditandingi, namun bagi pihak kami, kami tidak mengeluarkan apa-apa arahan,” katanya.

Mengulas mengenai momentum PRN Melaka, Ramanan berkata, suasana kempen dilihat lebih tenang dan positif.

Menurutnya peningkatan suhu politik dan kehangatan bahang kempen adalah perkara biasa menjelang kemuncak pilihan raya.

“Memang kalau kita lihat, momentum dia tengah meningkat. Bila kita nak sampai kepada hari-hari terakhir (sebelum hari mengundi), kita akan lihat banyak aktiviti yang dijalankan.

“Semestinya bahang kempen juga akan naik, suhu politik pun akan naik.

“Tapi setakat ini saya lihat politik di Melaka tak ada yang kecam, fitnah kurang di Melaka berbanding di tempat lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top