norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penerbit dan pengarah filem, Faisal Ishak, 56, menyifatkan keluarga turut berperanan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak untuk mendidik adab, sikap dan disiplin.
Terdahulu, timbul dakwaan mengenai masalah sikap, adab dan disiplin yang berlaku kepada anak-anak ketika ini dikatakan berpunca dari rumah, lebih-lebih lagi dalam pengaruh meluas media sosial.
Faisal berkata dia bersetuju bahawa keluarga memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak dan rumah ialah tempat pertama mereka belajar tentang adab, empati, rasa hormat dan cara melayan orang lain.
“Bagaimanapun, kita juga tidak boleh menyalahkan ibu bapa semata-mata kerana setiap anak berhadapan dengan pengalaman, tekanan rakan sebaya dan pengaruh persekitaran berbeza.
“Ibu bapa memang perlu mengambil tahu tentang kehidupan anak-anak, termasuk siapa kawan mereka, apa yang ditonton dan bagaimana mereka menggunakan media sosial. Tetapi pemantauan sahaja tidak mencukupi.
“Kita juga perlu berbual, mendengar dan membimbing mereka supaya memahami mengapa sesuatu perbuatan itu salah,” katanya kepada Harian Metro berkaitan isu gejala buli yang menjadi-jadi pada kalangan pelajar sekolah.
Ujar pengarah drama dan filem Juvana ini, pendedahan pendidikan terhadap perkara salah dibuat pasti mendapat hukuman wajar untuk difahami anak-anak dengan betul agar mereka berhati-hati, seterusnya menolak buli.
“Pendidikan bukan sekadar memastikan anak-anak takut dihukum, tetapi membantu mereka membina pertimbangan moral sendiri untuk peka dan berhati-hati menjaga tingkah laku.
“Malah, jika kita mahu mereka menghormati orang lain dan menolak keganasan, kita sendiri perlu menunjukkan contoh yang baik serta mengajar mereka menyelesaikan konflik tanpa kekerasan,” katanya.
Baru-baru ini, muncul gesaan agar semua bentuk drama dan filem yang mempromosi atau memaparkan budaya buli dihentikan serta-merta, susulan kebimbangan terhadap situasi berlaku pada kalangan pelajar sekolah.
Kandungan terkait babak-babak aksi keganasan dianggap sebagai bahan pengajaran yang memberi pengaruh negatif serta mencetus perlakuan ‘copycat’ (meniru) dalam kalangan anak muda yang berlagak menjadi ‘ketua’.
© New Straits Times Press (M) Bhd




