anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jenayah rasuah rentas sempadan membabitkan sindiket penyeludupan barang subsidi, rokok, dan pemerdagangan migran di sempadan Malaysia-Thailand dikesan masih terus berlaku dan menjadi punca ketirisan.
Susulan itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan National Anti-Corruption Commission (NACC) Thailand komited membanteras jenayah rasuah rentas sempadan menerusi pengukuhan kerjasama risikan yang lebih pantas, proaktif serta berimpak tinggi.
Langkah itu dipersetujui menerusi Mesyuarat Kerjasama Dua Hala Ke-8 yang berlangsung pada 10 September lalu di Bangkok, Thailand sebagai manifestasi komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam mengekang aktiviti rasuah berkaitan penyeludupan.
Menerusi satu pelan tindakan proaktif, kedua-dua agensi penguat kuasa itu bersetuju memperkemas kerjasama risikan kilat bagi memburu pengkhianat negara yang mendalangi ketirisan di pintu sempadan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, yang mengetuai delegasi SPRM, berkata NACC adalah rakan strategik penting di rantau ini khususnya dalam membanteras aktiviti rasuah melibatkan penyeludupan barangan bersubsidi, petrol, diesel, rokok, minuman keras dan pemerdagangan migran yang didalangi ketirisan penguatkuasaan di sempadan.
Beliau mendedahkan bahawa pakatan strategik ini amat penting memandangkan kekerapan aktiviti ekonomi di sempadan kedua-dua negara adalah antara yang tertinggi di rantau ASEAN, sekaligus mengundang ruang salah guna kuasa yang tinggi.
“Bagi tempoh 2021 hingga 2026, SPRM sudah menerima 163 maklumat aduan rasuah berkaitan aktiviti penyeludupan di sempadan.
“Ia khususnya membabitkan Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan yang bersempadan dengan wilayah Thailand seperti Songkhla, Yala, Narathiwat serta Satun.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 33 kertas siasatan dibuka yang membawa kepada 38 tangkapan, 24 pertuduhan di mahkamah dan 16 sabitan kesalahan,” katanya ketika mengetuai delegasi SPRM ke Mesyuarat Kerjasama Dua Hala Ke-8 di Bangkok, Thailand, itu.
Menurutnya, sinergi mantap ini terbukti membuahkan hasil luar biasa apabila SPRM berjaya mengesan saksi dan suspek kes rasuah yang cuba bersembunyi atau melarikan diri merentasi sempadan kedua-dua negara.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha NACC Wilayah 9, Tawichart Nillakan menegaskan, talian hayat pertukaran maklumat secara terus ini jauh lebih efektif dan pantas berbanding prosedur formal Bantuan Perundangan Bersama (MLA) yang memakan masa lama.
Selain operasi gempur risikan, kempen kesedaran pencegahan rasuah berskala besar turut akan digerakkan di pintu masuk sempadan sempena sambutan Hari Antirasuah Sedunia pada 9 Disember depan.
Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah barisan pengarah kanan serta pengarah bahagian dan negeri SPRM.
© New Straits Times Press (M) Bhd

