lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh akan membentangkan cadangan kaedah pengurusan tapak bazar Ramadan di seluruh ibu negara kepada Kabinet dalam masa terdekat.
Hannah berkata, satu sidang media akan dilakukan sebaik keputusan berhubung perkara itu dicapai.
“Saya akan bentangkan kepada Kabinet dulu dan kertas (kerja) sudah disediakan. Selepas itu saya akan buat sidang media,” katanya ringkas selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Menteri Wilayah Persekutuan bersama Ahli-Ahli Parlimen Kuala Lumpur di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan sama ada DBKL akan meneruskan kaedah mengurus sepenuhnya hal berkaitan lesen perniagaan dan penyelenggaraan bazar Ramadan di ibu kota seperti dilaksanakan tahun lalu atau melantik mana-mana persatuan sebagai ‘orang tengah’.
Tahun lalu, DBKL melaksanakan langkah baharu dengan menguruskan sepenuhnya hal berkaitan permohonan lesen perniagaan dan penyelenggaraan bazar Ramadan di ibu negara bagi memastikan penjaja mendapat harga sewaan tapak berpatutan selain pengurusan lebih baik.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi menangani rungutan mengenai harga dikenakan bagi permohonan lesen perniagaan.
Pada 1 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara berhenti menggunakan ejen atau orang tengah dalam urusan permohonan permit perniagaan bazar Ramadan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




