Gaji Presiden FIFA bocor!

Gaji Presiden FIFA bocor!

London: Gaji Presiden FIFA, Gianni Infantino tersebar dalam dokumen baharu yang diterbitkan secara dalam talian.

Infantino memegang jawatan tersebut hampir sedekad, selepas mengambil alih daripada Sepp Blatter pada Februari 2016. Lewat tahun ini, beliau akan terbabit dalam Piala Dunia ketiganya apabila edisi 2026 berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Dilahirkan daripada keluarga pendatang Itali yang berpindah ke Switzerland, Infantino berasal daripada latar belakang kelas pekerja, dan pengajian undang-undangnya di Universiti Fribourg membolehkannya meningkat ke peringkat tertinggi selepas memegang pelbagai jawatan bersama UEFA.

Namun, walaupun peminat bola sepak menjangkakan Infantino menerima gaji sangat lumayan memandangkan kedudukannya, pendapatan lelaki berusia 55 tahun itu telah didedahkan dalam dokumen cukai Amerika Syarikat yang dilihat oleh akhbar Perancis Le Monde, melalui VI.

Menurut laporan tersebut, gaji permulaan Infantino ketika beliau dipilih pada awalnya ialah €1.28 juta (RM6 juta). Menjelang tahun 2024, gaji tahunannya meningkat kepada kira-kira €5.27 juta (RM24.8 juta).

Gaji asas beliau dikatakan hampir €2.5 juta (RM11 juta), dengan Infantino turut menerima €1.5 juta (RM7 juta) dalam bentuk bonus serta layak memperoleh tambahan €950,000 (RM4.47 juta) sebagai elaun bercukai lain, selain lebih €130,000 (RM612,000) untuk pencen.

Bonus beliau selepas Piala Dunia 2022 dilaporkan berjumlah €1.77 juta (RM8.34 juta), manakala gajinya meningkat sebanyak €2.7 juta (RM12.7 juta) selepas beliau dipilih semula pada 2023.

Gaji semasa Infantino kini tidak diketahui, namun angka tersebut dijangka meningkat dengan ketara susulan penganjuran Piala Dunia Kelab dan Piala Dunia di Amerika Syarikat, yang mana beliau memainkan peranan utama bersama Presiden AS, Donald Trump.

Sebelum ini, satu dokumen mendakwa Infantino menikmati perbelanjaan peribadi yang mahal seperti £8,795 (RM41,000) untuk tilam di kediamannya, £6,829 (RM32,000) bagi mesin senaman jenis stepper, serta £1,086 (RM5,130) untuk sut tuxedo.

Infantino berharap untuk dilantik semula dan mengekalkan jawatannya pada 2027 bagi satu lagi penggal empat tahun sehingga 2031. Namun, itu merupakan tempoh maksimum perkhidmatan yang dibenarkan baginya dalam jawatan tersebut.

Sebagai sebahagian daripada perubahan tadbir urus utama yang dipersetujui, diputuskan tiada Presiden FIFA boleh memegang jawatan lebih daripada 12 tahun.

Penggal pertama Infantino tidak dianggap sebagai penggal penuh kerana beliau mula memegang jawatan pada 2016 untuk tempoh tiga tahun, bermakna secara teknikal beliau boleh melebihi had tersebut dan menikmati tempoh perkhidmatan sehingga 15 tahun jika dipilih semula.

Namun selepas itu, Infantino akan diwajibkan berundur daripada jawatan tersebut dan memberi laluan kepada pegawai lain untuk mengambil alih.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top