Kuala Lumpur : Produksi Seni Duapuluh Duapuluh Sdn Bhd selaku penerbit filem Last Dive menzahirkan penghargaan buat Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim diatas sokongan dan dorongan kepada karyawan seni tanah air.
Perkara itu disuarakan dalam satu sesi pertemuan bersama penerbit produksi terbabit Datin Dr Wendy Wong dan Datuk Nancie Foo, baru-baru ini.
Last Dive membawa mesej penting untuk generasi muda iaitu memelihara dan memulihara lautan kita adalah tanggungjawab bersama.
Menerusi jalan cerita berimpak tinggi, filem ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran lebih tinggi mengenai pemuliharaan marin serta memberi inspirasi kepada masyarakat agar lebih prihatin terhadap alam sekitar.
Norliza meluahkan harapan agar filem ini dapat membantu mendidik pelajar serta menggalakkan mereka untuk lebih sedar akan kepentingan melindungi lautan kita.
Filem ini turut mengetengahkan kisah inspirasi komuniti Orang Kurang Upaya (OKU), dengan menampilkan bagaimana golongan terbabit mampu menemui kebebasan, keyakinan dan pelbagai kebarangkalian baharu menerusi aktiviti menyelam.
Kisah ini mengingatkan penonton bahawa tiada yang mustahil apabila seseorang itu diberikan peluang, sokongan dan keberanian untuk mengejar impian mereka.
Tenaga kerja di sebalik tabir Last Dive amat bersyukur atas dorongan daripada Norliza dan berharap filem ini akan mencetuskan perbincangan yang bermakna mengenai pemuliharaan lautan, inklusif serta potensi golongan OKU.
Sementara itu, menjelang tayangan filem berkenaan Disember depan, beberapa kempen dijalankan antaranya dengan kerjasama agensi terbabit minggu lalu sempena Bulan Menabung Simpanan (BMS) bersama PTPTN bertempat di I-City Central, Shah Alam. Pelbagai acara dan aktiviti menarik turut diadakan sepanjang program itu.
Terdahulu Norliza menerusi facebook memuji usaha yang dilakukan pasukan produksi terbabit.
“Jarang kita melihat penerbit tempatan yang berani mengangkat isu pemuliharaan lautan, pemeliharaan hidupan marin serta kisah inspirasi penyelam skuba OKU.
“Saya doakan agar ‘Last Dive’ mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai dan mesej yang dibawa melalui filem ini dapat memberi manfaat serta meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga khazanah laut kita serta memberi semangat kepada mereka kurang upaya.” tulisnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




