'Reset' emosi, minda di Healing Nite – Anuar Zain

'Reset' emosi, minda di Healing Nite – Anuar Zain

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi Anuar Zain menyifatkan penganjuran konsert Healing Nite 2026 Sabtu ini, adalah waktu terbaik untuk peminat melakukan ‘reset’ emosi dan minda selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang tahun lalu.

Acara anjuran Kembar Nusantara Sdn Bhd dengan kerjasama Creative Page Sdn Bhd (produksi) dan Yumeca Sdn Bhd (strategi & pemasaran) di Stadium Merdeka turut menampilkan artis terkenal antaranya Ella, Dayang Nurfaizah, disamping penampilan bintang seberang, Lyodra serta kumpulan Kangen Band.

Menurut Anuar, acara ini bakal menjadi medan terapeutik terbaik buat peminat seni tanah air.

“Saya suka menyifatkan reset emosi dan minda sebagai ‘fresh start effect’ atau memulakan sesuatu yang baharu dengan segar seperti kita melepaskan beban lama dengan membina niat baru.

“Jadi saya melihat konsert Healing Nite 2026 ini sesuai dengan konsep teraputik yang diterapkan. Hiburan boleh menjadi salah satu teraputik terbaik sekali gus kerana muzik boleh meningkatkan emosi positif dan menghilangkan stress,” katanya.

Dayang Nurfaizah pula berpandangan aktiviti mendengar muzik dan menyanyi sebagai satu senaman ringan yang sihat untuk kesejahteraan diri.

“Ramai mungkin lupa bahawa mendengar muzik selain dapat melepaskan tekanan ia juga sebagai aktiviti sihat seperti baru melakukan senaman ringan dengan menyanyi dan ‘bergoyang’.

“Jika anda mencari hiburan yang mempunyai semua elemen teraputik ini, maka Healing Nite 2026 adalah jawapannya. Awal tahun adalah masa terbaik untuk kita menarik semua yang positif,” katanya.

Sementara itu, Ratu Rock Negara, Ella turut berkongsi, dia mahu peminat melepaskan segala tekanan perasaan menerusi energi muzik yang bakal dipersembahkan nanti.

“Mungkin ada ramai yang memendam perasaan pada tahun lalu seperti penat bekerja atau hilang keyakinan diri, jadi mari kita lepaskan semua yang ‘buruk’ dengan energi baharu menerusi konsert ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top