Kurang pemain berkualiti tinggi punca wakil Asia 'bungkus' awal

Kurang pemain berkualiti tinggi punca wakil Asia 'bungkus' awal

Dallas: Cabaran hambar pasukan Asia di Piala Dunia 2026 akhirnya berakhir di Dallas, semalam apabila Australia tewas menerusi penentuan penalti kepada Mesir, sekali gus memadamkan harapan terakhir benua itu untuk menyelamatkan kempen yang mengecewakan.

Hanya tiga kemenangan daripada 29 perlawanan yang diharungi di seluruh Amerika Utara menjadi pulangan yang amat mengecewakan buat sembilan wakil Asia, mewakili rantau yang menempatkan lebih separuh daripada populasi dunia di pentas bola sepak paling berprestij itu.

Walaupun menghantar jumlah wakil terbesar dalam sejarah ke Piala Dunia, tiada satu pun pasukan Asia berjaya mara ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama sejak edisi Brazil 2014.

Kegagalan kuasa-kuasa utama Asia pula mengulangi kisah lama.

Jepun dan Australia sekali lagi tersingkir pada pusingan kalah mati pertama, sama seperti Jepun pada 2018 dan 2022 serta Australia di Qatar empat tahun lalu.

Malah, kedua-dua negara itu masih gagal mencatat kemenangan dalam pusingan kalah mati Piala Dunia selepas lapan percubaan secara keseluruhan.

Sekurang-kurangnya Jepun dan Australia berjaya melepasi saingan kumpulan, tidak seperti Korea Selatan, Arab Saudi, Iran, Jordan, Uzbekistan, Iraq dan Qatar yang terkandas lebih awal.

Daripada tujuh pasukan itu, hanya Korea Selatan meraih satu kemenangan ketika menewaskan Republik Czech dalam aksi pembukaan, sebelum tewas kepada Mexico dan Afrika Selatan yang menyaksikan mereka tersingkir dalam suasana penuh kontroversi di sebalik kemelut dalaman pasukan.

Iran pula menamatkan kejohanan tanpa kalah apabila seri dengan New Zealand, Belgium dan Mesir, meskipun berdepan pelbagai masalah di luar padang susulan konflik negaranya dengan Amerika Syarikat (AS).

Bekas jurulatih Jepun dan Qatar, Philippe Troussier berkata, kebanyakan pasukan Asia mempamerkan corak permainan yang teratur dan berdisiplin, namun masih kekurangan pemain berkualiti tinggi yang mampu mengubah keputusan perlawanan.

“Sepanjang kejohanan ini, pasukan Asia sangat tersusun, berdisiplin dan mantap dari segi taktikal.

“Bagaimanapun, mereka sering kekurangan kualiti individu yang mampu mengubah perjalanan sesuatu perlawanan.

“Di Piala Dunia, organisasi permainan memang penting, tetapi pada tahap tertinggi anda juga memerlukan pemain yang mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa dalam satu detik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top