Madrid: Kylian Mbappe meledak hatrik ketika Real Madrid menewaskan Real Sociedad 4-1 di Santiago Bernabeu dalam saingan La Liga awal pagi tadi sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama Jose Mourinho di laman sendiri.
Mbappe membuka jaringan pada minit ke-40 sebelum Luka Sucic menyamakan kedudukan empat minit kemudian. Penyerang Perancis itu kembali meletakkan Madrid di depan pada minit ke-60, sebelum Vinicius Jr menambah gol ketiga pada minit ke-68 dan Mbappe melengkapkan hatrik 10 minit sebelum tamat.
Ia turut menjadi kepulangan penuh kemenangan buat Jose Mourinho ke Santiago Bernabeu, lebih 13 tahun selepas perlawanan terakhirnya sebagai pengendali Madrid di stadium berkenaan.
Madrid bangkit daripada persembahan tidak tersusun pada babak pertama untuk mempamerkan aksi lebih garang selepas rehat.
Penyokong Madrid mula mencemuh sebelum separuh masa berikutan permulaan hambar apabila tuan rumah kelihatan kurang rentak, cuai ketika menguasai bola dan mudah terdedah kepada serangan balas.
“Sentiasa ada rasa keadilan dalam setiap sorakan cemuhan dan tepukan, dan sedikit cemuhan dari semasa ke semasa tidak memudaratkan sesiapa, ia membantu anda berkembang,” kata Mourinho pada sidang media.
“Kita semua tahu Santiago Bernabeu dan betapa tingginya tuntutan penyokong di sini. Saya sangat gembira dengan cara pemain bertindak balas di bawah tekanan dan menghasilkan babak kedua yang hebat, malah kami sepatutnya boleh menjaringkan lebih banyak gol.”
Sociedad memberikan ancaman lebih tajam pada awal permainan dan hampir mendahului pada minit ke-10 apabila Take Kubo memintas hantaran longgar berhampiran tepi kotak penalti sebelum melorongkan bola kepada Mikel Oyarzabal, namun percubaan jarak dekatnya diselamatkan Thibaut Courtois.
Pasukan pelawat sekali lagi hampir menjaringkan gol pada minit ke-34 apabila voli menarik Sergio Gomez hanya tersasar di tiang jauh, ketika penyokong Bernabeu mula meluahkan rasa kecewa.
Mbappe mengubah suasana lima minit sebelum rehat menerusi aksi kelas tersendiri. Federico Valverde menerima bola melepasi kawasan tengah sebelum melakukan hantaran hebat mengatasi pertahanan, membolehkan Mbappe meluru ke dalam kotak, memotong ke kiri dan melepaskan rembatan kencang ke penjuru atas gawang.
Namun, kelemahan pertahanan Madrid kembali menghantui mereka empat minit kemudian. Ibrahima Konate, Dean Huijsen dan Alvaro Carreras gagal mengawal pergerakan selepas Job Ochieng menyambut hantaran jauh. Percubaannya terkena pemain pertahanan sebelum bola jatuh kepada Luka Sucic di sebelah kanan, yang sempat mengawal bola sebelum melepaskan rembatan rendah menewaskan Courtois.
Mourinho memasukkan Marc Cucurella pada separuh masa dan Madrid muncul dengan wajah berbeza, dengan Vinicius Jr serta Mbappe terus menguji pertahanan pelawat menerusi larian pantas dan permainan lebih bertenaga.
Tuan rumah kembali mendahului pada minit ke-60 apabila Mbappe dan Jude Bellingham melakukan kombinasi satu-dua pantas, membolehkan penyerang Perancis itu berada dalam keadaan bebas di dalam kotak sebelum menewaskan Alex Remiro menerusi rembatan rendah.
Lapan minit kemudian, tekanan Bellingham berjaya merampas bola berhampiran garisan tepi padang sebelum hantaran silangnya membolehkan Vinicius melakukan penyudah mudah dari jarak dekat.
Mbappe melengkapkan kemenangan pada minit ke-80 selepas Vinicius melakukan hantaran bijak di belakang pertahanan. Penyerang itu kemudian melakukan lambungan tenang melepasi Remiro untuk melengkapkan hatrik.
Sementara itu, juara Sepanyol Barcelona akan menerima kunjungan Athletic Bilbao awal pagi esok dengan pemain baharu Rodri dijangka membuat penampilan sulung untuk pasukan kendalian Hansi Flick dari bangku simpanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
