am@hmetro.com.my
Dungun: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukkan RM48.3 juta untuk melaksanakan 28 projek tahun ini.
Pengerusi Ketengah, Datuk Rozi Mamat berkata bajet Rolling Plan Pertama (RP1) di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RM13) merangkumi 22 projek sambungan bernilai RM42.855 juta dan enam projek baharu berjumlah RM5.5 juta.
Menurutnya, pada tahun ini, Ketengah akan memperkukuhkan agenda pembangunan melalui perancangan dan pelaksanaan program pembangunan berimpak tinggi berdasarkan Pelan Perancangan Strategik Ketengah 2025-2035.
“Projek yang diluluskan termasuk kajian pengukuhan cerun dan kawalan hakisan, pemasamgan pencahayaan pinta dan jimat tenaga.
“Projek pembangunan Ketengah Agrotech Valley, program pembangunan usahawan, pendigitalan sistem aplikasi eksplorasi pelancongan, serta menaik taraf dan membaik pulih premis perniagaan,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2026 di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, dekat sini, hari ini.
Beliau menegaskan kesemua projek yang dirancang itu perlu dijalankan dengan segera untuk manfaat penduduk di wilayah Ketengah.
“Saya mahu semua projek itu dijalankan dengan sempurna dan disiapkan dalam tempoh ditetapkan supaya ia memberi manfaat kepada kumpulan sasar di wilayah ini,” katanya.
Sementara itu, Rozi berkata, perbelanjaan peruntukan pembangunan mencatatkan RM36.436 juta atau 95.09 peratus daripada keseluruhan peruntukan RM38.319 juta pada tahun lalu.
“Dalam tempoh sama, prestasi perbelanjaan peruntukan mengurus pula berjumlah RM39.029 juta iaitu 99.47 peratus daripada keseluruhan peruntukan RM39.237 juta.
“Pencapaian ini membuktikan kecekapan pengurusan kewangan yang baik ini membuktikan komitmen tinggi seluruh warga kerja demi memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan secara optimum,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 13 anak syarikat Ketengah turut mencatat keuntungan yang memberangsangkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
