Pearly–Thinaah atasi tentangan sengit wakil AS

Pearly–Thinaah atasi tentangan sengit wakil AS

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah menepati ramalan apabila mara ke pusingan kedua Masters Indonesia, namun kejayaan itu tidak hadir dengan mudah.

Turun selaku pilihan utama kejohanan, Pearly-Thinaah terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan gandingan Amerika Syarikat (AS), Francesca Corbett-Jennie Gai 21-15, 20-22, 21-19 dalam pertarungan sengit selama 49 minit pada pusingan pertama di Istora Senayan, hari ini.

Pada perlawanan itu, Pearly-Thinaah bermula baik apabila menguasai set pertama, namun sedikit kehilangan fokus di set kedua memberi ruang kepada lawan memaksa aksi dilanjutkan ke set penentuan.

Bagaimanapun, pengalaman dan ketenangan jelas memihak kepada beregu negara apabila mereka kembali mengawal permainan untuk mengesahkan kemenangan tipis.

Di pusingan kedua, Pearly-Thinaah dijadual berdepan cabaran gandingan Taiwan, Lin Xiao Min-Wang Yu Qiao.

Sementara itu, dua lagi beregu lelaki negara turut mengikut jejak langkah apabila berjaya melepasi halangan pusingan pertama.

Gandingan profesional Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong mempamerkan aksi meyakinkan apabila menewaskan wakil Taiwan, Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen 21-13, 21-18 dalam masa hanya 30 minit.

Turut mencatat kemenangan ialah satu lagi beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menewaskan beregu AS, Chen Zhi Yi-Presley Smith 21-15, 21-17 untuk melangkah ke pusingan kedua.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top