georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi Hazami dimasukkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Khamis minggu lalu dan perlu menjalani prosedur kolonoskopi selepas penyakit lamanya iaitu usus bengkak kembali menyerang.
Pengurusnya, Aszuad Zakaria, berkata Hazami perlu melakukan prosedur terbabit untuk kurangkan bengkak pada ususnya. Penyakit itu juga menyebabkannya mengalami kesukaran membuang air besar.
“Hazami dimasukkan wad di HKL sejak 15 Januari lalu kerana mengalami penyakit sama seperti dulu, ususnya bengkak. Doktor nak kurangkan bengkak pada ususnya dan melakukan prosedur kolonoskopi.
“Dia ke hospital kerana mengalami masalah sukar membuang air besar dan hanya keluar cecair. Dia boleh merasakan penyakitnya yang dulu kembali lagi. Sejak di hospital dia tidak boleh membuang air besar,” katanya.
Bagaimanapun, Aszuad turut berkongsi, kelmarin, penyanyi Tekad itu sudah dapat buang air besar jadi doktor boleh teruskan dengan prosedur rawatan.
Sejak dimasukkan ke hospital, Hazami hanya dibenarkan minum air bagi memastikan ususnya bersih sebelum rawatan seterusnya.
“Hanya semalam Hazami baru boleh makan kerana sejak masuk hospital, doktor hanya beri dia minum air saja. Ini bagi memastikan ususnya bersih sebelum melakukan prosedur seterusnya.
“Kalau ikutkan Hazami tidak mahu berkongsi mengenai keadaannya tetapi selepas dipujuk dia akhirnya bersetuju untuk memaklumkan kepada rakan media,” katanya.
Aszuad juga menegaskan berita mengenai Hazami atau nama sebenarnya Norkamal Hazami Ahmad, 51, sudah tidak dapat tawaran seni adalah palsu dan masih ada ‘show’ sebelum masuk hospital.
“Sebelum ini, ada beberapa blogger menyebarkan berita palsu mengatakan Hazami kini tiada tawaran pekerjaan kerana mengalami masalah kesihatan. Semua itu tidak benar.
“Sebelum dimasukkan ke hospital, Hazami masih lagi memenuhi jemputan menyanyi dan sibuk menghasilkan karya lagu baharu,” tegasnya.
Pada 2015, Hazami dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi sebuah pusat perubatan swasta kerana mengalami pendarahan dalam usus.
© New Straits Times Press (M) Bhd

