puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pereka fesyen terkenal, Melinda Looi menggunakan lima kilogram (kg) arang dalam menghasilkan busana yang dipakai penyanyi, Aina Abdul pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), baru-baru ini.
Menerusi hantarannya di Instagram, semalam, Melinda berkata, busana digayakan Aina ketika mempersembahkan persembahan lagu Kamu mengetengahkan konsep gunung berapi dan aliran lava, menunjukkan emosi yang sudah lama dipendam dan akhirnya meletus.
“Saya mahu kostum ini kelihatan seperti sesuatu yang sedang hidup dan bergerak, seolah-olah lava itu sendiri mengalir pada tubuh Aina.
“Gunung berapi bagi saya adalah simbol kepada emosi yang sangat kuat, ia mungkin kelihatan tenang dari luar, tetapi di dalamnya terdapat tenaga yang sedang membara.
“Apabila ia meletus, kita melihat satu kuasa yang luar biasa. Itulah emosi yang saya ingin terjemahkan melalui kostum ini untuk ‘Kamu’,” tulisnya.
Mengangkat tema ‘The Art of Eruption’, lima kg arang digunakan bagi menampilkan unsur semula jadi dan bahan mentah yang diinspirasikan daripada batuan gunung berapi.
Selain arang, antara bahan-bahan yang turut digunakan ialah sequin mesh (gabungan jaring labuci), metallic lurex polyester (poliester Lurex berunsur logam), kapas, gam lateks, cat akrilik dan Stirofom.
Dalam pada itu, busana itu turut diserlahkan menerusi penggunaan 6,000 elemen Swarovski, 80 meter rambu nilon serta 60 meter rambu manik kaca.
Menurut Melinda, penggunaan arang adalah simbol kepada proses pembakaran, kehancuran dan transformasi, manakala Swarovski dan manik pula dianggap cahaya yang terhasil daripada lava.
“Konsep ini adalah tentang sesuatu yang bermula jauh di dalam, terus membara dan akhirnya meletus sebagai sebuah kuasa yang tidak dapat dibendung. Saya mahu setiap elemen kostum dapat menghidupkan emosi tersebut,” kongsinya.
Katanya, kolaborasi bersama Aina membuktikan fesyen mampu menjadi sebahagian daripada penceritaan sesebuah persembahan dan bukan sekadar pelengkap kepada penampilan seseorang.
“‘Kamu’ bukan sekadar tentang seseorang, tapi tentang apa yang seseorang itu mampu bangkitkan dalam diri, sebuah emosi yang bermula sebagai bara, menjadi api, membara dan akhirnya meletus menjadi sesuatu yang tidak dapat dilupakan,” tulisnya lagi.
Dalam AJL40 yang berlangsung, Aina berjaya membawa pulang trofi Persembahan Terbaik, anugerah Ikon Shopee pada malam kemuncak AJL40 serta turut diumumkan sebagai wakil Malaysia ke Eurovision Asia Song Contest 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd

