olivia@nst.com.my
Kota Kinabalu: Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina Mahathir bersambung hari ini dengan mahkamah memanggil semula bekas ketua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha untuk memberi keterangan lanjut.
Saksi kelapan, Azhari Abd Sagap yang dipanggil semula semalam, mendedahkan penemuan bukti baharu, sehelai kertas yang dijumpai ketika aktiviti gotong-royong dijalankan di sekolah berkenaan.
Susulan pendedahan itu, mahkamah menangguhkan prosiding pada jam 4 petang semalam.
Azhari memberitahu Mahkamah Koroner bahawa nota pada kertas berkenaan menyatakan minat mendalam Zara untuk menjadi seorang pengawas Badan Dakwah dan Rohani (BADAR).
Menurut saksi itu lagi, bukti baharu itu adalah antara dokumen yang diserahkan kepada pihak polis pada tahun lalu, merangkumi salinan imbasan kenyataan bertulis pelajar serta diari.
Inkues berkenaan bermula pada 3 September tahun lalu susulan kematian Zara pada 17 Julai, iaitu sehari selepas mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tingkat bawah bangunan SMKA Tun Datu Mustapha.
© New Straits Times Press (M) Bhd




