Kuala Lumpur: Sunway Bhd berkata tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk membeli kesemua 3.51 bilion saham biasa dalam IJM Corporation Bhd pada harga tawaran RM3.15 sesaham sedang diteruskan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, kumpulan itu berkata cadangan tawaran berkenaan dilaksanakan selaras dengan Peraturan-Peraturan mengenai Pengambilalihan, Penggabungan dan Pengambilalihan Wajib yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
“Cadangan tawaran ini tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Sunway yang diperoleh pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) Sunway akan datang,” katanya.
Pada 12 Januari, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk membeli keseluruhan 3.51 bilion saham IJM pada harga tawaran RM3.15 sesaham. Ia berkata kumpulan itu berkemungkinan menamakan sebuah anak syarikat milik penuh sebagai penerima saham tawaran berkenaan.
Sunway berkata dengan andaian penerimaan penuh terhadap cadangan tawaran itu dan tiada pelarasan dibuat ke atas harga tawaran, jumlah pertimbangan bagi cadangan pengambilalihan tersebut dianggarkan sekitar RM11 bilion, yang akan dibayar melalui gabungan pembayaran tunai dan penerbitan saham biasa baharu dalam kumpulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




