am@hmetro.com.my
Seremban: Kertas siasatan kes pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai dibuli sehingga menyebabkan limpa pecah, sudah dirujuk kepada Pejabat Perundangan Negeri Sembilan pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, kertas siasatan dirujuk untuk mendapatkan arahan dan tindakan lanjut.
“Pada 11 Ogos lalu, jam 8.45 malam, suspek iaitu seorang pelajar Tingkatan Empat berusia 16 tahun dari sekolah sama, ditahan bagi membantu siasatan.
“Suspek direman selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Ogos, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang tinggal di sebuah sekolah berasrama, terpaksa menjalani pembedahan kecemasan selepas limpanya pecah dipercayai akibat dipukul dalam kejadian buli pada Ogos lalu.
Lebih memilukan, kecederaan itu menyebabkan kira-kira 2.5 liter darah keluar akibat pendarahan sebelum doktor terpaksa membuang limpa mangsa bagi menyelamatkan nyawanya.
Semalam muka depan Harian Metro mendedahkan sekurang-kurangnya satu daripada empat remaja mengalami kemurungan, tekanan mental atau gangguan emosi akibat buli.
Keadaan itu sekali gus mendorong mangsa buli untuk bertindak luar kawalan termasuk perlakuan ganas luar jangka berbeza dengan personaliti waras mereka.
Kesihatan mental remaja berusia 13 hingga 17 tahun di negara ini berada pada tahap kritikal apabila disahkan mengalami kemurungan, manakala satu daripada 10 pernah cuba membunuh diri, ia menuntut tindakan segera semua pihak sebelum krisis berkenaan meragut lebih banyak nyawa generasi muda.
© New Straits Times Press (M) Bhd




