julianna.jalaluddin@nst.com.my
Kuala Lumpur: Pelajar warga Malaysia di sekolah swasta dan antarabangsa, termasuk mereka yang mengikuti aliran peperiksaan alternatif, diwajibkan mempelajari Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut kurikulum kebangsaan, namun tidak diwajibkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mata pelajaran berkenaan, jelas Kementerian Pendidikan (KPM).
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, keperluan itu terpakai kepada semua warga Malaysia tanpa mengira sistem persekolahan, dengan penekanan diberikan kepada penguasaan bahasa kebangsaan dan kefahaman sejarah negara, bukannya memaksa pelajar menyertai aliran peperiksaan awam.
“Warganegara Malaysia mesti mempelajari Bahasa Melayu dan Sejarah selaras dengan kurikulum kebangsaan.
“Sama ada mereka mahu menduduki SPM atau tidak, itu adalah pilihan masing-masing. Ia tidak diwajibkan,” katanya kepada New Straits Times (NST) selepas menghadiri sesi rakaman program bual bicara TV3, Soal Rakyat, di Balai Berita, Bangsar di sini, hari ini.
Beliau menegaskan sekolah swasta dan antarabangsa yang mempunyai pelajar warga Malaysia diwajibkan melaksanakan modul kurikulum kebangsaan bagi Bahasa Melayu dan Sejarah di dalam bilik darjah, di bawah seliaan kementerian.
Penjelasan itu dibuat susulan perbahasan awam selepas pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035, yang menggariskan pembaharuan merentas peringkat prasekolah hingga pendidikan tinggi, termasuk pengukuhan penanda aras kebangsaan bagi mata pelajaran teras.
Azam berkata, dasar itu tidak berkait dengan pengiktirafan kelayakan alternatif, sebaliknya bertujuan memastikan pelajar warga Malaysia, di mana jua mereka belajar, mempunyai akses kepada pembelajaran bahasa kebangsaan dan sejarah negara.
“Ia adalah hak warganegara untuk mempelajari bahasa kebangsaan dan memahami sejarah pembinaan negara dalam sebuah masyarakat berbilang kaum,” katanya.
Beliau berkata, pelajar di sekolah bukan aliran awam yang mengikuti kurikulum kebangsaan bagi kedua-dua mata pelajaran itu layak untuk menduduki peperiksaan SPM sekiranya mereka memilih untuk berbuat demikian pada masa hadapan.
Katanya, kementerian akan terus berinteraksi dengan pengusaha sekolah swasta dan antarabangsa sepanjang pelaksanaan RPN bagi memastikan peralihan berjalan lancar serta pelaksanaan yang konsisten.
© New Straits Times Press (M) Bhd




