suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Shah Alam: Kegagalan mematuhi Perintah Gaji Minimum 2024 serta bayaran gaji secara tunai harian antara kesalahan utama dikesan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor di sebuah premis syarikat perkhidmatan kurier di sini, malam ini.
Operasi yang dijalankan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) itu diselaraskan Pasukan Khas Penguatkuasaan (PKP) JTK Selangor dengan kekuatan 35 pegawai penguat kuasa, melibatkan majikan dalam sektor perkhidmatan kurier.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM, Betty Hasan, berkata operasi turun padang itu mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam memastikan pematuhan penuh terhadap undang-undang perburuhan negara.
“Hasil operasi pada malam ini, sejumlah 120 orang pekerja tempatan dan 175 orang pekerja asing dengan latar belakang berbeza telah diperiksa.
“Kesemua pekerja asing ini terdiri dari pelbagai negara seperti Indonesia, India, Pakistan dan Bangladesh.
“Antara kesalahan yang dikesan dibawah akta yang dikuatkuasakan oleh JTKSM adalah kegagalan majikan untuk mematuhi Perintah Gaji Minimum 2024 dan kesalahan dibawah Akta Kerja 1955 [Akta 265] iaitu seksyen 25A bayaran gaji secara tunai harian,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Katanya, turut dikesan kesalahan membabitkan Seksyen 60A iaitu tidak membayar gaji lebih masa.
Menurut Betty, JTKSM akan terus mempergiatkan pelaksanaan operasi dan penguatkuasaan selaras perundangan di bawah bidang kuasa yang diperuntukkan.
“Penguatkuasaan ini amat penting sebagai langkah proaktif jabatan dalam membanteras ketidakpatuhan terhadap mana-mana akta perburuhan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penguatkuasaan ini perlu dilakukan secara konsisten demi memastikan kebajikan pekerja tempatan mahupun asing dipelihara dan keharmonian perburuhan negara terus diperkasa.
“Selain itu, operasi penguatkuasaan ini juga menjadi platform untuk memberi penerangan, nasihat serta bimbingan kepada pihak majikan mengenai kepentingan pematuhan undang-undang perburuhan.
“Ia selaras dengan usaha kerajaan dalam mewujudkan persekitaran pekerjaan yang adil, selamat dan sejahtera untuk semua pihak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




