saufi@mediaprima.com.my
Pengeluar jenama perkomputeran terkemuka, Acer Malaysia hari ini memperluas barisan komputer riba Acer Swift dengan memperkenalkan Swift Air 14.
Menerusi Acer Swift Air 14, ia perkakas yang nipis dan ringan direka untuk pengguna yang sentiasa bergerak antara tempat kerja, institusi pengajian dan kafe.
Berat 1.19 kilogram dan ketebalan 12.99 milimeter, komputer riba itu menggunakan kerangka aluminium sepenuhnya.
Bateri yang dibekalkan dikatakan mampu bertahan sehingga 19 jam, manakala pengecasan pantas boleh membawa bateri ke paras 50 peratus dalam tempoh 30 minit sahaja.
Menyentuh aspek prestasi, Swift Air 14 dikuasakan pemproses Intel Core 7 350, dipadankan dengan memori LPDDR5 sehingga 12GB dan storan SSD 512GB.
Engsel 180 darjah membolehkan skrin dibentangkan rata, sekali gus memudahkan perkongsian paparan ketika perbincangan atau kerja berkumpulan.
Skrin WUXGA 14 inci menawarkan kadar penyegaran 120 Hz serta liputan warna 100 peratus sRGB.
Pengalaman audio pula diperkukuh sistem empat pembesar suara dengan teknologi DTS Ultra yang menghasilkan bunyi spatial 3D.
Bagi panggilan video, kamera IR 1080p disokong teknologi Acer PurifiedView dan Acer PurifiedVoice yang menggunakan bantuan kecerdasan buatan (AI) untuk menyingkirkan hingar.
Bagi sudut keselamatan, pengguna boleh log masuk menerusi pengecaman wajah Windows Hello, selain penutup privasi kamera fizikal.
Komputer riba itu menyokong Wi-Fi 6E dan Bluetooth 5.3, selain dua port Thunderbolt 4 Type-C dan satu port USB Type-A.
Ia ditawarkan dalam empat warna iaitu Sage Green, Frost Blue, Blossom Pink dan Lilac Purple.
Swift Air 14 dijual bermula RM2,999 dengan jaminan dua tahun, termasuk Jaminan Pengembara Antarabangsa pada tahun pertama.
Ia boleh didapati serta-merta menerusi penjual sah Acer dan Acer eStore.
© New Straits Times Press (M) Bhd




