Lelaki rogol budak dihukum penjara 18 tahun, 6 sebatan

Lelaki rogol budak dihukum penjara 18 tahun, 6 sebatan

KLUANG: Seorang penganggur dihukum penjara 18 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah merogol seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun di Simpang Renggam, dekat sini, dua minggu lalu.

Hakim Mujib Saroji juga memerintahkan lelaki berumur 39 tahun serta belum berkahwin itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 15 Mei lalu.

Tertuduh mengaku bersalah merogol mangsa di bilik belakang sebuah rumah pada jam 3.30 petang 14 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun berserta sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon maaf atas perbuatannya itu dan merayu hukuman ringan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Muhamad Dan, memohon mahkamah untuk menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh yang mempunyai pertalian persaudaraan dengan mangsa, bagi memberi pengajaran kepadanya dan orang awam.

Beliau berkata, hukuman itu perlu menunjukkan bahawa kerajaan dan mahkamah memandang serius terhadap kesalahan merogol kanak-kanak kerana kes sedemikian adalah jenayah berat.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pemilik syarikat alat ganti kereta, Tan Chuang Loong, 32, didakwa membunuh seorang lelaki, K Ramachandran, dengan menggunakan sebatang paip polivinil klorida (PVC) di sebuah kilang di Taman Perindustrian Gemilang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 2.50 hingga 4 pagi 15 Mei lalu, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang diwakili peguam, Dr Abraham Mathew, kerana kes bunuh merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi pihak pendakwaan menyerahkan laporan bedah siasat. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top