Manchester: Pemain tengah Manchester United, Casemiro, akan meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris itu pada penghujung musim ini selepas kontraknya tamat, menurut pengumuman rasmi kelab.
Pemain berusia 33 tahun itu sebenarnya mempunyai opsyen lanjutan kontrak selama setahun, namun United memilih untuk tidak mengaktifkannya sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang rombakan skuad.
Sumber pasukan memaklumkan keputusan itu dibuat lebih awal dan Casemiro sendiri meminta kelab mengesahkan pemergiannya pada jendela musim panas ini.
“Saya akan membawa Manchester United bersama saya sepanjang hidup. Sejak hari pertama melangkah ke stadium indah ini, saya dapat merasai semangat Old Trafford dan kasih sayang penyokong kelab istimewa ini,” kata Casemiro.
Pemain Brazil itu menyertai United dari Real Madrid pada Ogos 2022 dengan yuran sekitar £60 juta (RM325 juta) dan segera menjadi tonggak utama bahagian tengah, menjaringkan 21 gol dalam 146 perlawanan bersama kelab.
Casemiro memainkan peranan penting membantu United menjuarai Piala Liga 2023 apabila menjaringkan gol tandukan dalam kemenangan 2-0 ke atas Newcastle United di perlawanan akhir, selain turut menjadi sebahagian daripada skuad yang menjuarai Piala FA 2024.
“Ini belum masa untuk mengucapkan selamat tinggal. Masih banyak kenangan yang boleh dicipta dalam tempoh empat bulan akan datang. Kami masih ada banyak perkara untuk diperjuangkan,” katanya.
United kini berada di kedudukan kelima liga, ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu, Arsenal, menjelang pertemuan di Stadium Emirates, pagi Isnin ini.
Kelab itu turut berada dalam momentum positif selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Manchester City, dalam penampilan sulung penuh dramatik pengurus sementara Michael Carrick, susulan pemecatan Ruben Amorim.
Casemiro turut memuat naik kenyataan penuh emosi di media sosial bersama video kompilasi sepanjang tempohnya di Old Trafford.
“Saya membuat keputusan bahawa ini akan menjadi empat bulan terakhir saya di Old Trafford. Terima kasih atas segalanya. Forever Red Devil,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




