Umat Islam perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan digitalisasi, namun kemajuan itu tidak boleh menyebabkan prinsip akidah, akhlak serta sahsiah diketepikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penguasaan terhadap ilmu dan teknologi baharu perlu dibina berteraskan nilai sendiri dan bukannya sekadar menciplak pengaruh asing, khususnya dari Barat.
Menurut beliau, cabaran sebenar adalah memastikan kemajuan teknologi dapat dimanfaatkan tanpa menghakis identiti serta nilai yang menjadi pegangan umat Islam.
“Cabarannya ialah bagaimana kita menggunakan ilmu dan teknologi baharu ini kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan digitalisasi, tetapi berakar kepada iman, akhlak dan syaksiah kita. Nilai kita mesti kita pertahankan.
“Jangan kerana mendagangkan perubahan dan menginginkan ilmu baharu, kita tinggalkan prinsip akidah, akhlak serta sahsiah kita tersisih daripada arus sebagai seorang Muslim yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Tilawah dan Hafazan Al Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke 66 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengingatkan bahawa keterbukaan terhadap perubahan dan kemajuan tidak bermakna umat Islam perlu meninggalkan khazanah keilmuan yang diwarisi sejak lebih 1,400 tahun lalu.

Beliau berkata, pesanan mengenai kepentingan khazanah turath itu turut disampaikan tokoh ulama antarabangsa yang berkunjung ke Malaysia baru baru ini menerusi program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
“Ulama mengingatkan saya, kalau bawa Islam yang betul, boleh berfikir cara baharu, boleh belajar AI lain, tetapi mesti terikat kepada landasan kekuatan turath, legasi dan khazanah kita supaya tidak lari daripada semangat itu.
“Tanam kefahaman yang lebih mendalam dan jangan izinkan tersebarnya pandangan yang mendorong kepada pantas menghukum tanpa berbekal kepada ilmu yang mendalam,” katanya lagi.
MTHQA ke 66 yang berlangsung sehingga 10 Oktober membawa tema ‘Madani Dihayati, Ummah Diberkati’ dengan penyertaan 50 peserta dari 38 negara. Daripada jumlah itu, masing masing 25 peserta menyertai kategori tilawah dan hafazan.
Malaysia diwakili Mohamad Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali dan Nur Syakura Mohamad Musa bagi kategori Tilawah, manakala Muhammad Izzul Afnan Sazali serta Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam membawa cabaran negara dalam kategori Hafazan.
Sumber: FB Anwar Ibrahim, BH Online (Essa Abu Yamin)





