Alive semakin hampir juarai RLIR 2026

Alive semakin hampir juarai RLIR 2026

am@hmetro.com.my

Langkawi: Selepas merampas penguasaan kedudukan teratas daripada The Next Factor semalam, kapal layar Alive terus membuktikan keampuhannya apabila kekal menguasai kelas Racing pada Regata Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2026 di sini, hari ini.

Meskipun belum mengesahkan kejuaraan, kejayaan memenangi perlumbaan kelapan dalam laluan ‘Around The Island Course’ di perairan Pulau Dayang Bunting hari ini, pasukan dari Australia dikemudi Duncan Hine itu hampir 90 peratus sudah bergelar juara edisi ke-22 ini.

Ini kerana ketika ini, kelas Racing menyaksikan tiga pasukan teratas – Alive, The Next Factor diketuai Rolf Heemskerk dan Blitz dikendalikan Nick Burns, masing-masing mengumpul 11, 13 dan 15 mata.

Dalam kelas sama, VG Rama Rama yang diterajui Rama Menon pula dilihat tidak lagi berada dalam posisi untuk mengejar kejuaraan selepas ketinggalan jauh dengan perbezaan 31 mata.

Pada dua perlumbaan terakhir esok, cabaran besar menanti ketiga-tiga pasukan teratas apabila mereka dijadualkan bersaing dalam West Coast Island Course, dengan angin dijangka bertiup lebih kencang berbanding hari ini, antara 24 hingga 25 kilometer sejam.

Justeru, laluan Alive menuju kejuaraan bukanlah terlalu selesa dan masih belum selamat apabila jurang mata dua pencabar terdekat terlalu rapat menjadikan setiap baki perlumbaan menjadi medan ‘hidup mati’ buat ketiga-tiga pasukan itu.

Kesilapan kecil termasuk tersasar laluan atau gagal membaca perubahan angin berisiko meranapkan segala perancangan, sekali gus membuka ruang kepada pencabar merampas takhta pada saat akhir.

The Next Factor dan Blitz jelas masih enggan mengibarkan bendera putih apabila kedua-duanya terus mengekori rapat Alive, menjadikan kelas Racing sebagai pentas paling panas dalam regata edisi ini.

Tekanan kini jelas memihak kepada pendahulu, dengan kejuaraan hanya dijangka ditentukan pada detik terakhir menjelang perlumbaan terakhir tengah hari esok.

Pada edisi ke-22 penganjuran RLIR kali ini, sebanyak 35 bot membabitkan 250 pelayar berentap merebut kejuaraan dalam tujuh kelas perlumbaan iaitu Racing, IRC 1, IRC 2, Club Class, Sports Boats serta Multihull Racing dan Cruising.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top