Kuala Lumpur: Ibu dan kakak kepada Yap Shing Xuen, pelajar Tingkatan Empat yang maut pada 14 Oktober tahun lalu, telah memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap beberapa pihak berhubung kematian remaja berkenaan.
Dalam satu kenyataan, ibunya memaklumkan bahawa tindakan undang-undang itu difailkan pada 1 Oktober lalu menerusi Tetuan Surendra Ananth, dengan menamakan beberapa agensi kerajaan, ibu bapa kepada remaja lelaki yang membunuh Yap, serta remaja lelaki terbabit sebagai defendan.
Menurutnya, keluarga percaya tragedi menimpa Yap boleh dielakkan sekiranya pihak berkaitan mengambil langkah sewajarnya, khususnya dalam menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar.
“Ini bukan soal dendam. Ia adalah untuk memastikan pihak yang berkenaan dipertanggungjawabkan supaya kejadian sebegini tidak berulang kepada mana-mana kanak-kanak lain,” katanya.
Beliau mendakwa agensi kerajaan yang dinamakan sebagai defendan telah gagal mengambil langkah pencegahan yang mencukupi bagi menangani isu kesihatan mental di sekolah sebelum keadaan menjadi lebih parah.
Ibu mangsa turut memaklumkan bahawa saman itu menamakan ibu bapa remaja terbabit sebagai defendan dengan mendakwa terdapat tanda amaran awal, selain ibu bapa mempunyai tanggungjawab memastikan anak-anak mereka tidak mencederakan orang lain.
Remaja lelaki terbabit turut dinamakan sebagai defendan dalam saman berkenaan.
“Isu-isu ini amat penting. Perbicaraan penuh wajar diadakan supaya segala persoalan ini dapat didengar dan diteliti oleh mahkamah dengan sewajarnya,” ujarnya.
Katanya lagi, kes terbabit turut mengetengahkan keperluan pelaksanaan dasar berkaitan kesihatan mental secara menyeluruh di kalangan murid sekolah.
“Memandangkan cabaran kesihatan mental yang semakin meningkat di kalangan anak-anak kita hari ini, kita tidak boleh lagi terus berdiam diri. Kenyataan dan rancangan besar sahaja tidak memadai. Kita tidak boleh menunggu sehingga lebih banyak nyawa terkorban barulah tindakan sewajarnya diambil,” jelasnya.
Beliau mengenang kembali hari kejadian apabila Yap keluar ke sekolah pada 14 Oktober 2025 dengan harapan mangsa akan pulang ke rumah seperti biasa.
“Tetapi pada hari itu, saya kehilangan seorang anak perempuan, dan anak sulung saya kehilangan adik perempuannya.
“Tiada ibu atau kakak yang patut melalui apa yang telah kami tempuhi. Kami mahu pihak yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan,” katanya.
Barisan peguam keluarga itu akan diketuai oleh Datuk Malik Imtiaz dan Surendra Ananth.
Pihak keluarga memaklumkan sebarang pertanyaan pihak media berhubung saman sivil terbabit boleh dirujuk kepada peguam mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




