Golongan muda tidak seharusnya terus dilabel sebagai pemimpin masa depan semata-mata, sebaliknya perlu diberi kepercayaan untuk memainkan peranan dalam kepemimpinan negara pada masa kini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, naratif yang sering menggambarkan anak muda sebagai pemimpin masa depan boleh mengelirukan kerana golongan itu sebenarnya sudah mempunyai peranan penting dalam menentukan hala tuju negara.
“Anak muda sekarang bukan hanya pemimpin masa depan, tetapi juga pemimpin masa kini yang bekerja bersama-sama.
“Jadi, kita harus berkongsi peranan. Anak muda mesti dilibatkan dalam usaha memimpin dan membantu negara,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Ekonomi Belia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Anwar, dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, generasi muda perlu melihat kepentingan negara dalam kerangka yang lebih besar dan tidak hanya terikat kepada kepentingan kelompok, persatuan, wilayah, suku kaum, kaum atau pegangan agama tertentu.
Beliau berkata, kepentingan diri, keluarga, komuniti serta kepercayaan agama tidak seharusnya diketepikan, namun semua perkara itu perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab untuk mempertahankan perpaduan serta martabat negara.
“Tidak salah untuk kita fikir mengenai nasib diri dan keluarga, kampung, daerah atau suku kaum. Tidak salah juga untuk mengukuhkan iman dan sahsiah sebagai seorang Muslim, Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain.
“Tetapi mesti ingat, kalau mahu menjamin masa depan negara, anak-anak mesti faham bahawa tidak ada negara yang mampu selamat dan berjaya tanpa semangat kesatuan untuk mengangkat martabat bangsa dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan generasi muda supaya mengambil iktibar daripada sejarah yang menunjukkan sesebuah negara boleh berdepan perpecahan apabila kebencian dan perseteruan antara kaum serta agama dibiarkan berakar.
Selain konflik kaum dan agama, katanya, kelemahan sesebuah negara juga boleh berpunca daripada kegagalan rakyat untuk bekerjasama sebagai satu pasukan serta membiarkan pemikiran yang merosakkan mempengaruhi masyarakat dan sistem negara.
“Jadi anak-anak, jangan andaikan negara ini akan kekal selamat dengan membiarkan beberapa kelemahan ketara, antaranya memupuk kebencian dan perseteruan antara kaum, agama serta wilayah.
“Itu yang boleh memecahbelahkan negara,”ujar beliau.
Anwar turut menegaskan bahawa keutamaan bukan untuk mempertahankan mana-mana sistem atau tokoh, sebaliknya memastikan negara terus kukuh, bersatu dan mampu menghadapi cabaran pada masa hadapan.
“Dalam perkara apapun, keutamaan kita adalah anak-anak muda.
“Mereka bukan hanya pemimpin masa depan tetapi pemimpin sekarang yang perlu bekerja bersama-sama,” katanya.
Sumber: Harian Metro (Fairul Asmaini Mohd Pilus)




