Cabaran Man-Tee berakhir

Cabaran Man-Tee berakhir

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun gagal menamatkan badi kekalahan di tangan gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani apabila tewas buat kali keenam berturut-turut pada aksi suku akhir Masters Indonesia, hari ini.

Pasangan nombor enam dunia itu terpaksa akur tewas straight set 20-22, 19-21 kepada lawan yang menduduki ranking ketujuh dunia dalam perlawanan selama 38 minit di Istora Senayan.

Kekalahan itu sekali gus menyaksikan Wei Chong-Kai Wun gagal dalam misi mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu.

Sebagai rekod, Wei Chong-Kai Wun hanya pernah menang sekali ke atas Sabar–Moh Reza ketika pertemuan sulung mereka di Terbuka Indonesia 2024, namun selepas itu tewas lima perlawanan berturut-turut termasuk pada Sukan SEA Thailand 2025 dan Jelajah Dunia Akhir BWF bulan lalu, sebelum kekalahan terbaharu hari ini.

Terdahulu, Wei Chong-Kai Wun bermula cemerlang dan berada di landasan tepat untuk mencatat kemenangan set pertama apabila mendahului 18-12 serta berada di mata akhir ketika mendahului 20-19.

Namun, sokongan padu ribuan penyokong tuan rumah menyuntik kebangkitan Sabar–Moh Reza yang akhirnya merampas set pertama 22-20.

Set kedua menyaksikan Wei Chong-Kai Wun cuba bangkit dan berjaya mengikat kedudukan 6-6, namun kesilapan mudah selepas itu membolehkan Sabar-Moh Reza melebarkan jurang kepada 13-6.

Wakil negara tidak mengalah dan meningkatkan intensiti permainan untuk merapatkan jurang beberapa kali pada kedudukan 14-16 dan 18-19, sebelum gandingan Indonesia menoktahkan kemenangan straight set 21-19.

Musim lalu, Wei Chong-Kai Wun berjaya menyerap tekanan di Istora Senayan untuk muncul juara kejohanan Super 500 pertama mereka selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada aksi final.

Ini adalah kali ketiga Wei Chong-Kai Wun kandas di suku akhir kejohanan musim ini selepas melakar skrip sama di Terbuka Malaysia dan Terbuka India.

Sementara itu, gandingan Korea Selatan-Malaysia, Choi Sol Gyu-Goh V Shem terpaksa akur tewas dalam pertarungan tiga set kepada pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 21-15, 20-22, 21-14.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top