Setiap nabi akan mempunyai telaga masing-masing di akhirat kelak. Diriwayatkan daripada Samurah bin Jundub RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap nabi mempunyai sebuah telaga. Dan sesungguhnya mereka akan saling berbangga tentang siapakah dalam kalangan mereka yang paling ramai pengunjungnya (pengikut yang datang minum). Dan sesungguhnya aku berharap agar akulah yang paling ramai pengunjungnya.” (Riwayat at-Tirmidhi, katanya: Hadis gharib)
Sebagaimana diketahui, terdapat ramai nabi yang diutuskan oleh Allah SWT untuk menyeru umat manusia agar menyembah dan mentauhidkan-Nya. Bagaimanapun, tidak semua mereka berhasil menarik dan mengumpulkan jumlah pengikut yang ramai. Ini kerana seruan dakwah yang dilaksanakan oleh mereka berbeza-beza hasilnya. Ada nabi yang mempunyai bilangan pengikut yang ramai. Ada nabi yang hanya diikuti oleh sekumpulan orang. Ada juga nabi yang cuma diikuti oleh dua orang. Malah, ada nabi yang hanya mempunyai seorang pengikut sahaja. Bahkan, ada nabi yang tiada pengikut langsung.
Manakala, baginda Nabi Muhammad SAW adalah nabi yang paling ramai pengikutnya. Samurah RA turut meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya para nabi akan saling berbangga tentang siapakah dalam kalangan mereka yang paling ramai pengikut daripada kalangan umatnya. Maka, aku berharap pada hari tersebut akulah yang paling ramai pengunjungnya berbanding mereka semua. Sesungguhnya setiap seorang nabi pada hari itu akan berdiri di atas sebuah telaga yang penuh airnya, sambil memegang sebatang tongkat dan akan memanggil sesiapa yang dikenali daripada kalangan umatnya. Manakala, setiap umat pula mempunyai tanda yang melaluinya nabi mereka akan dapat mengenali mereka.” (Riwayat at-Tabarani dengan sanad hasan)
Baginda SAW akan dapat mengenali umatnya melalui tanda khusus yang ada pada mereka, iaitu cahaya putih berseri pada anggota wuduk mereka. Daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah pergi ke kawasan perkuburan, lalu bersabda: “Sejahtera ke atas kamu, wahai penempatan kaum yang beriman dan sesungguhnya kami dengan izin Allah akan menyusuli kamu sekalian. Aku amat berharap agar kita dapat melihat saudara-saudara kita.” Para sahabat bertanya: “Bukankah kami ini saudara-saudaramu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku, manakala saudara-saudara kita adalah mereka yang belum datang lagi (belum lahir).” Mereka bertanya lagi: “Bagaimanakah tuan dapat mengenali orang yang belum datang lagi daripada umatmu itu, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Apakah pendapat kamu, sekiranya seorang lelaki mempunyai kuda yang putih dahinya dan putih semua kakinya, berada di tengah-tengah kumpulan kuda yang hitam legam, bukankah dia akan dapat mengenali kudanya sendiri?” Para sahabat menjawab: “Tentu sekali, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya mereka (umatku) akan datang pada hari kiamat dengan wajah, kaki dan tangan yang putih berseri-seri disebabkan oleh kesan wuduk, dan akulah yang akan menunggu dan menyambut mereka di telaga (al-haudh).” Baginda menyambung: “Ketahuilah! Sungguh, akan ada sekumpulan lelaki yang akan dihalang daripada mendatangi telagaku, seumpama seekor unta sesat yang dihalang (daripada bersama sekumpulan unta lain). Lalu, aku memanggil mereka: “Sila, marilah ke sini!” Lalu dikatakan kepadaku: “Sesungguhnya mereka telah mengubah (ajaran agama) selepas pemergianmu.’ Maka, aku pun berkata: “Menjauhlah kamu, menjauhlah kamu (daripadaku).” (Riwayat Muslim)
Orang pertama yang akan sampai ke telaga Nabi SAW ialah golongan fakir miskin daripada kalangan kaum Muhajirin. Thauban RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Telagaku luasnya sejauh antara Aden (di Yaman) hingga Amman Balqa (di Jordan). Airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu. Jumlah bekas-bekas minumannya adalah sebanyak bilangan bintang-bintang di langit. Sesiapa yang minum daripadanya walaupun seteguk, dia tidak akan berasa dahaga selepas itu selama-lamanya. Orang pertama yang tiba untuk meminumnya adalah golongan fakir miskin daripada kalangan Muhajirin, yang berambut kusut masai, berpakaian lusuh, mereka yang tidak mampu mengahwini wanita yang hidup mewah dan tidak akan ada pintu yang dibukakan untuk mereka (sebagaimana orang kaya).” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim, katanya: Sahih sanadnya)
Ini adalah kelebihan bagi golongan fakir miskin kaum Muhajirin yang tiada memiliki harta mahupun kedudukan ketika di dunia, namun di akhirat kelak mereka merupakan golongan yang dimuliakan dan ditinggikan darjatnya. Demikian juga kelebihan golongan fakir miskin secara umumnya, sebagaimana sabda Nabi SAW: “Golongan fakir miskin akan memasuki syurga lebih dahulu sebelum golongan kaya dengan kadar tempoh selama 500 tahun.” (Riwayat at-Tirmidhi, katanya: Hasan sahih)
Penulis Pensyarah Kanan Jabatan al-Quran dan Sunnah, Universiti Islam Selangor
© New Straits Times Press (M) Bhd




